PEMAIN Sabah mahu fokus menentang JDT pada aski Piala FA.
PEMAIN Sabah mahu fokus menentang JDT pada aski Piala FA.
Ryan Stanley


KETUA Jurulatih Sabah, Jelius Ating menganggap masalah dalaman dihadapi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan satu kelebihan buat pasukannya menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas, di sini, Sabtu ini.

Pengendali berusia 47 tahun itu yakin, JDT akan tetap kekal sebagai pasukan yang baik kerana memiliki ramai pemain berkualiti termasuk barisan pemain simpanan.

“Memang akhir-akhir ini kita banyak mendengar mengenai JDT... ketua jurulatih mereka meletak jawatan, pemain import keluar daripada pasukan, jurulatih kecergasan dipecat dan mereka juga baru selesai perlawanan Piala AFC di Vietnam.

“Bagaimanapun, ia bukan kelebihan buat kami kerana mereka masih antara pasukan terbaik di Malaysia. Bagaimanapun, saya juga mahu pemain mengambil peluang ini dengan bermain bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, walaupun dianggap ‘underdog’ atau pasukan bukan pilihan, mereka akan berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan itu, terutamanya apabila bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.

“Kita tahu JDT sebuah pasukan yang baik, memiliki pengurusan dan kewangan yang baik, namun dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku, di luar negara, kelab yang kuat pun mampu dikecewakan pasukan kerdil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persiapan pasukannya untuk menghadapi perlawanan itu berjalan lancar dengan kesemua pemain bebas daripada sebarang kecederaan.

“Kita telah mengatur beberapa strategi untuk perlawanan itu, termasuk untuk menghadapi kemungkinan perlawanan berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti,” katanya.

Jelius dijangka mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini iaitu Robson Rendy Rining sebagai penjaga gol, dengan dibantu pemain pertahanan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Maffry Balang dan Jenius Karib.

Pemain import dari Korea Selatan, Heo Jaenyong pula dijangka kekal sebagai penggerak di bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Sabri Sahar, dan Maxsius Musa.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu juga kemungkinan akan terus mengharapkan Lee Gil Hoon serta Hector Omar Ramos sebagai pemburu jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:01 AM