DANI CARVAJAL
DANI CARVAJAL

KRASNODAR: Pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal percaya kemampuan jurulatih sementara, Fernando Hierro sebagai pakar taktikal namun setakat ini mengakui juara dunia 2010 itu masih gagal menepati jangkaan pada Piala Dunia.

Kemampuan Hierro yang dilantik pada saat akhir, menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat, dipersoalkan bekas pengurus Real Madrid, Bernd Schuster selepas Sepanyol sekadar mengutip lima mata di kedudukan teratas Kumpulan B menewaskan Iran 1-0 selain seri dengan Portugal dan Maghribi.

Kejayaan muncul juara kumpulan menyaksikan mereka bertemu tuan rumah, Russia pada pusingan kedua, Ahad ini.

“Masalah utama Sepanyol adalah Hierro bukan jurulatih. Beliau tidak mempunyai pengalaman pada tahap ini, menjadi pemain tidak sama seperti jurulatih,” menurut Schuster kepada stesen radio, Onda Cero, kelmarin.

“Kehadirannya terlalu lewat dan bukan salahnya namun amat sukar buatnya membuat keputusan.

“Pasukan itu dibentuk oleh individu lain dan beliau tidak membuat pertukaran yang tepat, tidak mempunyai perancangan dan tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi balas terhadap situasi itu.”

Carvajal membidas Schuster pada sidang media hari ini dengan mempertahankan Hierro, yang hanya mempunyai pengalaman jurulatih setahun, mengharungi musim yang mengecewakan dengan kelab bahagian dua Sepanyol, Real Oviedo.

“Saya fikir beliau lebih daripada layak, jadi saya tidak bersetuju dengan pandangan Schuster,” kata Carvajal.

“Kami bersamanya setiap hari dan percaya beliau layak mengemudi Sepanyol. Beliau jurulatih yang hebat dan kami akan bersama membuktikannya.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 12:00 AM