DJOKOVIC puas mara final. FOTO/AFP
DJOKOVIC puas mara final. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Novak Djokovic mengakui aksi final sulungnya tahun ini ‘sangat istimewa’ apabila bekas pemain tenis nombor satu dunia itu bersedia untuk berdepan Marin Cilic dalam perebutan kejuaraan di Queen’s Club.

Djokovic bergelut dengan masalah kecederaan di bahagian siku selama 12 bulan dan mempamerkan prestasi hambar pada 2018.

Kali ini, juara 12 kali Grand Slam itu bersedia untuk bersaing bagi meraih hadiah wang tunai terbesar dalam sukan berkenaan.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasinya yang merosot sebelum ini, Djokovic menegaskan kejayaan dalam perlawanan pemanas badan Wimbledon di Queen’s itu adalah langkah penting untuk memulihkan semula prestasinya.

Kejayaan meraih kejuaraan di gelanggang permukaan rumput di Eastbourne pada 12 bulan lalu adalah penampilan terakhirnya sebelum mara ke hari terakhir kejohanan di Queen’s.

Ini bermakna, kemenangan 7-6 (7/5,) 6-4 ke atas pemain Perancis, Jeremy Chardy (di separuh akhir) memberi erti sangat besar buat pemain berusia 31 tahun itu.

“Ia sangat menakjubkan, selepas di Eastbourne. Jadi sudah setahun saya tidak merasai saat istimewa seperti ini.

“Sebenarnya saya memang berharap dapat beraksi di sini dan sentiasa bekerja keras sepanjang kejohanan.

“Kini saya berpeluang untuk berentap bagi meraih trofi dalam antara satu kejohanan permukaan rumput terbesar tahun ini dan ia memberi makna mendalam buat saya.

“Saya sangat gembira dengan cara saya beraksi sepanjang minggu ini,” kata pemain Serbia itu.

Selepas kelihatan agak merudum sejak kali terakhir meraih kejuaraan Grand Slam pada Terbuka Perancis 2016, Djokovic kelihatan cuba untuk mencari semula motivasi beberapa bulan sebelum ini.

Dia sudah kembali mendapat sentuhan dalam empat kemenangan berturut-turut pada penampilan sulung di Queen’s sejak 2010.

Sebelum ini dia hanya turun beraksi dalam perlawanan pertunjukan menjelang aksi di Wimbledon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 9:11 AM