GRIEZMANN. FOTO Reuters
GRIEZMANN. FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Perancis, Antoine Griezmann mengumumkan bahawa dia akan terus bersama Atletico Madrid sekali gus menamatkan spekulasi menyertai Barcelona pada musim hadapan.

 “Saya membuat keputusan untuk kekal,” kata Griezmann kepada stesen televisyen Sepanyol 48 jam sebelum turun beraksi pada perlawanan pembukaan Perancis di Piala Dunia.

 Khidmat pemain berusia 27 tahun itu diintai Barcelona namun akhirnya dia membuat keputusan untuk terus kekal di Madrid meskipun sudah empat tahun bersama pasukan terbabit.

 Bulan lalu, dia meledak dua gol untuk membantu Atletico Madrid menang 3-0 ke atas Marseille pada pentas akhir Liga Europa.

 Itu adalah trofi pertama Griezmann bersama Atletico selepas kecundang menerusi sepakan penentuan penalti pada aksi final Liga Juara-Juara 2016 di tangan Real Madrid dan tewas di tangan lawan sama dua tahun sebelumnya.

 Dia turut dikecewakan pada pentas akhir Kejuaraan Eropah 2016 bersama Perancis.

 Kesetiaannya bersama Atletico Madrid nyata berbaloi apabila dia menikmati kenaikan gaji tahunan kepada 20 juta euro (RM92 juta) sekali gus menjadi pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah pasukan itu.

 Barcelona tentunya berdepan tamparan hebat atas keputusan Griezmann memandangkan mereka sudahpun kehilangan Neymar yang menyertai Paris Saint Germain.

 Gergasi Catalan itu dilaporkan sedia untuk membayar klausa pelepasan pemain itu yang bernilai 100 juta euro (RM460 juta) dalam usaha membawa Griezmann ke Camp Nou.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 5:30 PM