RONALDO (kiri) dan Ramos akan bertemu di Piala Dunia selepas Sepanyol dan Portugal diundi dalam kumpulan sama. -Foto Agensi
RONALDO (kiri) dan Ramos akan bertemu di Piala Dunia selepas Sepanyol dan Portugal diundi dalam kumpulan sama. -Foto Agensi
AFP

PIALA Dunia Russia 2018 menjanjikan permulaan hebat apabila dua bekas juara Eropah, Sepanyol dan Portugal diundi untuk bertarung pada hari kedua kejohanan itu.

Pemain Terbaik Dunia Cristiano Ronaldo akan bersemuka dengan rakan sepasukan Real Madrid dan kapten Sepanyol Sergio Ramos dalam ‘perang’ Iberia di pinggir Laut Hitam, 15 Jun depan sebelum kedua-duanya menentang Iran dan Maghribi dalam Kumpulan B.

Di Sepanyol, wujud kebimbangan Ronaldo akan kembali untuk menderhaka kepada negara majikannya sepanjang lapan tahun di Madrid, namun Potugal juga turut resah berdepan kehebatan La Roja yang sememangnya mahu dielak setiap pasukan pilihan.

“Ronaldo menanti kami di Russia,” demikian tajuk akhbar harian sukan Sepanyol Marca bagi edisi digital, manakala akhbar Portugal A Bola mengeluh “Sepanyol adalah pasukan terburuk yang keluar dari balang dua untuk menentang pasukan kebangsaan”.

Keputusan undian itu secara tidak langsung meneruskan permusuhan sengit di antara Real Madrid dan Barcelona.

Seandainya bebas dari kecederaan, pemain Real Dani Carvajal, Isco dan Marco Asensio akan menyertai Ramos dalam skuad Sepanyol kendalian Julen Lopetegui.

Skuad Barca juga akan terbahagi dua apabila dua pemain Portugal Nelson Semedo dan Andre Gomes akan menentang Gerard Pique, Jordi Alba, Sergio Busquets dan Andres Iniesta.

JULEN LOPETEGUI
JULEN LOPETEGUI

Namun ketegangan hubungan Ronaldo dan Ramos akan lebih dirasai beberapa bulan mendatang selepas kedua-duanya berselisih pendapat mengenai permulaan hambar Real awal musim ini.

“Sepanyol adalah pasukan pilihan,” tegas jurulatih Portugal Fernando Santos.

Bagaimanapun jurulatih Sepanyol Lopetegui menafikan pasukannya bernasib baik kerana berjaya mengelak daripada bertemu Jerman dan Brazil dari Balang 1.

“Portugal menjuarai gelaran penting baru-baru ini. Mereka adalah juara Eropah, memiliki pemain hebat dan kita bercakap mengenai permainan pada tahap tertinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 1:16 PM