SKUAD hoki wanita negara menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
SKUAD hoki wanita negara menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Naqib Nor Said

MALAYSIA pasti rugi sekiranya tidak membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan hoki Piala Dunia Wanita 2022, kerana ketika itu segala-galanya tampak sempurna buat Malaysian Tigress.

Berbekalkan skuad semasa - campuran pemain berpotensi dan tonggak senior seperti Juliani Mohamad Din dan Farah Ayuni Yahya, Malaysia diyakini mampu menggegar saingan empat tahun akan datang dengan pendedahan secukupnya.

Namun, impian mereka kini tampak samar selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan hanya ingin menawar diri menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki berbeza dengan ‘momokan’ awal mereka untuk menganjurkan kedua-duanya serentak.

Jika berdasarkan ukuran, skuad wanita negara dijangka bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik dunia berbanding pasukan lelaki yang dilihat tidak akan berdepan masalah menempah tiket automatik selepas turut layak bagi edisi 2018 pada Oktober depan.

Justeru, bekas pemain kebangsaan, Nadia Abdul Rahman berharap badan induk itu menimbangkan semula hasrat berkenaan sebelum menghantar permohonan kepada Persekutuan Hoki Dunia (FIH) minggu ini.

“Saya rasa perlu untuk Malaysia anjurkan Piala Dunia lelaki dan wanita 2022 secara serentak kerana bagi memastikan pasukan lelaki dan wanita negara mendapat peluang yang seadilnya untuk membuktikan kemampuan di pentas tertinggi.

“Malah, menjadi keinginan setiap pemain wanita untuk mencipta sejarah beraksi di Piala Dunia. Jika hendak layak merit menerusi Pusingan Akhir Siri Dunia Wanita 2021 adalah mustahil, jadi saya rasa jalan terbaik adalah dengan kita membida sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita 2022.

“Apabila kita anjurkannya, sekurang-kurangnya skuad wanita mempunyai peluang untuk mencapai sesuatu yang lebih bermakna selain akan mendapat perlawanan persiapan bertaraf dunia sekali gus mampu membantu meningkatkan keupayaan mereka,” kata Nadia yang pernah menyarung jersi negara selama 13 tahun.

Mengambil kira prestasi pada Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu, Nadia berkata: “Saya percaya pasukan wanita negara mampu memberi cabaran sekiranya beraksi di Piala Dunia selepas tewas bermaruah (0-3) kepada England dan berjaya mengikat Afrika Selatan di Gold Coast.”

Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia wanita pada 1983, namun ketika itu tidak mengambil bahagian atas sebab tertentu.

Selain Piala Dunia Lelaki 2022, MHC menerusi presidennya Datuk Seri Subahan Kamal dijangka akan turut menawarkan diri untuk Malaysia menjadi tuan rumah Pusingan Akhir Siri Dunia Lelaki 2019 dan Pusingan Akhir Siri Dunia Wanita 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 1:46 PM