PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah tetap beraksi untuk skuad kebangsaan Mesir pada Piala Dunia Russia. FOTO EPA-EFE
PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah tetap beraksi untuk skuad kebangsaan Mesir pada Piala Dunia Russia. FOTO EPA-EFE
AFP

MOHAMED Salah masih boleh memainkan peranan utama buat Mesir di Piala Dunia selepas Persatuan Bolasepak Mesir semalam memaklumkan bahawa kecederaan yang dialami penyerang Liverpool itu ‘tidak akan lebih’ dari tiga minggu.

“Insya-Allah Salah akan bersama di Piala Dunia kerana kecederaan yang dialaminya tidak akan lebih dari tiga minggu,” kata persatuan itu selepas Presiden Hani Abu Reda dan doktor pasukan bertemu Salah di Sepanyol, di mana dia sedang menjalani rawatan ketika ini.

Ketiadaannya selama tiga minggu itu menyaksikan Salah tidak akan beraksi sehingga 17 Jun dan bermakna dia akan terlepas perlawanan Mesir menentang Uruguay dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 15 Jun.

Mesir kemudiannya akan berdepan Russia pada 19 Jun dan Arab Saudi pada 25 Jun.

Salah tiba di Valencia pada Ahad lalu untuk rawatan pemulihan, sehari selepas dia mengalami kecederaan pada bahu kerana terjatuh akibat kekasaran dilakukan Sergio Ramos ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan Real Madrid menang 3-1.

FA Mesir Isnin lalu memaklumkan bahawa pemain bintang yang meledakkan 44 gol untuk Liverpool musim lalu dalam semua pertandingan, memulakan rawatan pemulihan Ahad lalu dan berharap boleh menjadi teraju utama Mesir pada penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 7:58 PM