SKUAD kebangsaan Uruguay tiba di Lapangan Terbang Nizhny Novgorod. FOTO AFP
SKUAD kebangsaan Uruguay tiba di Lapangan Terbang Nizhny Novgorod. FOTO AFP
AFP

PENJAGA gol Uruguay, Fernando Muslera berharap bintang Mesir, Mohamed Salah mampu cergas sepenuhnya apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi pembukaan Piala Dunia, Jumaat ini.

Selepas mengharungi perjalanan yang panjang sebelum memulakan sesi latihan di pinggir bandar Nizhny Novgorod, Muslera menegaskan, dia mendoakan Salah yang mengalami kecederaan bahu ketika final Liga Juara-Juara mampu beraksi seperti biasa.

“Saya bersama Luis (Suarez), saya gemar jika pemain terbaik beraksi, saya berlatih bersama yang terbaik dan saya mahukan yang terbaik beraksi di padang,” kata Muslera.

Ketika ini, kecergasaan Salah kerap menjadi tumpuan, tetapi pada Isnin lalu, bintang Mesir ini yang berada bersama pasukan di kem latihan di Grozny berkata, dia akan bersedia untuk mengharungi kejohanan berprestij ini.

Pada 30 Mei lalu, pegawai Mesir menegaskan, Salah mungkin tersisih tidak lebih tiga minggu, dan itu bermakna dia mungkin terlepas aksi menentang Uruguay tetapi mungkin disenaraikan ketika berdepan Russia pada 19 Jun dan Arab Saudi pada 25 Jun.

Skuad Uruguay yang dibimbing jurulatih veteran. Oscar Tabarez, menjalani latihan pertama sebaik tiba di Nizhny Novgorod dalam tempoh 24 jam.

Selepas menempuh penerbangan selama 16 jam, skuad itu terpaksa mengharungi satu lagi penerbangan empat jam untuk menentang Mesir di Ekaterinburg.

Muslera, yang beraksi untuk kelab Turki, Galatasaray, tidak melihat situasi itu mengganggu persiapan mereka kerana masih memiliki lima hari untuk bersiap menghadapi aksi pembukaan menentang Mesir.

Pemain pertahanan, Jose Maria Gimenez mengakui, aksi menentang Mesir cukup penting kerana ia akan menentukan rentak dan hala tuju Uruguay dalam kejohanan ini.

Uruguay adalah pasukan pilihan dalam Kumpulan A, termasuk tuan rumah, Russia yang bakai membuka tirai kejohanan menentang Arab Saudi pada 14 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 10:00 AM