NEGERI Sembilan mahu ulangi kecemerlangan benam Kelantan. -Foto BERNAMA
NEGERI Sembilan mahu ulangi kecemerlangan benam Kelantan. -Foto BERNAMA
Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan bertekad meneruskan rentak kemenangan sekali gus memastikan tiga mata berada dalam genggaman dalam pertemuan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.

Selepas menewaskan Kelantan di gelanggang sama 26 Mei lalu, skuad Hobin Jang Hobin tidak rela berputih mata dan mahu memastikan kemenangan ketiga musim ini dapat direalisasikan.

Ketua jurulatih, Mario Lemos berkata, kejayaan menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada anak buahnya untuk mengulangi aksi cemerlang dan meneruskan rentak kemenangan.

“Pemain kini mempunyai motivasi yang tinggi untuk meneruskan persembahan terbaik. Kami membuat persiapan rapi bagi memenangi perlawanan ini. Malah, saya yakin dengan kesungguhan serta kerja keras pemain, kemenangan yang diharapkan itu boleh direalisasikan,” katanya di sini, hari ini.

Pengendali kelahiran Portugal berusia 34 tahun itu juga mengakui persiapan barisannya untuk berdepan skuad bimbingan Datuk K Rajagopal berjalan lancar apabila semua pemain utama cergas dan menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

“Kami sedar PKNS bukan calang pasukan dan dengan reputasi yang mereka miliki, pemain saya perlu lebih fokus sepanjang permainan serta memastikan tidak melakukan banyak kesilapan yang boleh menghukum pasukan,” katanya.

Mengenai jentera serangan, Lemos berkata gandingan Angel Guirado dan N Thanabalan hampir pasti dijadikan sandaran utama, namun mempunyai beberapa perancangan lain untuk memastikan persembahan pasukan yang mula dikendalikannya pada 10 Mei lalu, berupaya menewaskan PKNS.

Selepas menamatkan 12 perlawanan, Negeri Sembilan sekadar mengutip lapan mata sekali gus terperosok di tangga tercorot liga manakala PKNS di tangga keenam dengan 19 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 1:30 PM