XAVI HERNANDEZ
XAVI HERNANDEZ
AFP

LEGENDA Barcelona, Xavi Hernandez akan bermain sehingga usianya mencecah 40 tahun apabila mengumumkan sudah menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun bersama kelab Qatar, Al Sadd, semalam.

Bekas bintang tengah legenda Sepanyol itu akan kekal di kelab berkenaan sehingga penghujung musim 2020, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelabnya, Al Sadd di media sosial.

“Saya gembira untuk terus menjadi sebahagian daripada keluarga Al Sadd untuk tempoh dua tahun lagi,” kata Xavi. “Saya berbesar hati untuk berada di kelab ini dan bersama peminatnya.

“Semua orang di sini adalah satu keluarga yang besar dan saya berpuas hati dan teruja untuk meneruskannya.”

Mengumumkan perkara berkenaan menerusi Twitter, Al Sadd berkata: “Yang terhebat kekal!”

Xavi menyertai Al Sadd pada 2015 dengan kontrak asal selama dua tahun selepas membuat lebih 700 penampilan bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pada awalnya, kontraknya hanya akan dilanjutkan sehingga 12 bulan dengan pemain berusia 38 tahun itu sebelum ini dijangka akan mengumumkan persaraan pada penghujung musim liga Qatar, awal bulan ini untuk memberi tumpuan terhadap bidang kejurulatihan.

Sebelum ini, Xavi turut memberi petunjuk ia akan menjadi musim terakhirnya selepas mengakui bergelut untuk menyiapkan dirinya dengan tuntutan fizikal selaku pemain profesional kerana usianya yang semakin tua.

Tetapi dengan Al Sadd masih beraksi di kempen Liga Juara-Juara AFC, dia merasakan keadaan fizikalnya masih bagus dan mengubah keputusannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 9:48 AM