XAVI bersama Messi. FOTO Agensi
XAVI bersama Messi. FOTO Agensi
Agensi

LIONEL Messi mampu beraksi sehingga berusia 40 tahun, menurut bekas rakan sepasukan di Barcelona, Xavi.

Pemenang Ballon d'Or berusia 32 tahun itu tetap menyengat bersama Barca musim ini dengan menjaringkan 24 gol dalam semua kejohanan sebelum pandemik koronavirus menghentikan aktiviti bola sepak di seluruh dunia.

Messi tidak dinafikan sangat penting kepada kejayaan Barca dan Xavi berpendapat superstar Argentina itu masih mempunyai kudrat untuk terus menyinar di peringkat kelab dan antarabangsa.

"Dia masih ada lima atau tujuh tahun lagi yang cemerlang dalam kariernya," kata Xavi ketika perbualan Instagram bersama seorang lagi bekas penyerang Barca, Samuel Eto'o.

"Dia begitu mengambil berat dirinya dan dia mampu beraksi sehingga berusia 37, 38 atau 39. Dia akan beraksi di Piala Dunia Qatar, saya yakin."

Jika Messi sampai ke tahap itu, Xavi berhasrat menjadi ketua jurulatih Barca.

Pengendali Al Sadd itu berunding dengan bekas majikannya awal tahun ini sebelum Quique Setien dilantik menggantikan Ernesto Valverde.

"Pada Januari, ia bukan masa yang sesuai," kata Xavi. "Saya bercakap dengan Eric Abidal [Pengarah Kesukanan Barcelona] dan Oscar Grau [Ketua Eksekutif Barcelona] dan juga tawaran menarik tetapi ia bukan masa yang sesuai.

"Saya perlukan lebih pengalaman. Menjadi jurulatih Barcelona adalah impian saya. Banyak kali telah saya perkatakan."

Xavi juga mahu melihat Neymar kembali dari Paris Saint-Germain dan menjadi sebahagian prospek kelab bimbingannya.

Penyerang Brazil itu kerap dikaitkan dengan perpindahan semula ke Camp Nou sejak berpindah ke ibu kota Perancis dengan harga rekod pada 2017.

"Dia tersenarai dalam tiga atau lima pemain terbaik dunia, tiada keraguan," kata Xavi. "Dia mampu mencipta perbezaan.

"Semoga dia kembali ke Barcelona. Saya peminat Barcelona dan saya mahu pemain terbaik di sana."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 12:13 AM