PEMAIN Malaysia, Fitri Saari mungkin terlepas penerbangan ke Argentina selepas ISN sahkan beliau perlu berehat dua minggu. FOTO Abdullah Yusof
PEMAIN Malaysia, Fitri Saari mungkin terlepas penerbangan ke Argentina selepas ISN sahkan beliau perlu berehat dua minggu. FOTO Abdullah Yusof
Naqib Nor Said


MALANG menimpa skuad hoki lelaki negara menjelang siri Jelajah Argentina, bermula Rabu ini apabila kemungkinan hilang khidmat arkitek tengah, Fitri Saari yang mengalami kecederaan hamstring.

Fitri mendapat kecederaan itu ketika sesi latihan kecergasan, Sabtu lalu sebelum Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan dia perlu berehat dua minggu.

Situasi itu menyebabkan jurulatih Stephen Van Huizen masih kempunan untuk menguji gandingan tengah utamanya dalam aksi kompetitif biarpun kembali menerima kepulangan Marhan Jalil yang diketepikan sewaktu Malaysia meraih tempat kelima dalam Sukan Komanwel, bulan lalu.

Bagaimanapun, Fitri, 25, berkata keputusan akhir hanya akan diputuskan Stephen yang akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain ke Buenos Aires, esok.

"Hasil pertemuan dengan doktor ISN semalam, beliau memberitahu kemungkinan besar saya terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama dua minggu.

"Bagaimanapun, nama saya masih dalam senarai, tetapi rasanya tidak boleh pergi kerana bimbang kecederaan itu bertambah teruk sekiranya saya beraksi," katanya ketika dihubungi.

Ketika kedudukan Fitri hanya akan diketahui esok, nasib seorang lagi pemain yang mengalami kecederaan berpanjangan, Izad Hakimi Jamaluddin sudah pasti tidak tersenarai dalam jelajah berkenaan.

Bagaimanapun, Stephen dijangka membawa bersama penjaga gol nombor satu negara, S Kumar yang sudah menamatkan sesi penggantungan selama enam bulan gara-gara terpalit dengan isu doping, Oktober lalu.

Malaysian Tigers yang berlepas ke Buenos Aires pada awal pagi Isnin ini dijadualkan mengharungi enam aksi persahabatan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:25 PM