KETUA jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Naqib Nor Said


MESKIPUN mempunyai kumpulan pemain yang besar, pengendali skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen mengakui tidak perlu pening kepala memikirkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran untuk ke siri Jelajah Argentina.

Perkara itu disuarakan Stephen ketika dihubungi hari ini, apabila mengesahkan sudah mempunyai senarai pemain yang akan dibawa ke Buenos Aires dan akan mengumumkannya, Khamis ini.

"Saya tidak perlu tempoh panjang untuk membuat keputusan kerana kami sudah menjalani latihan tiga minggu selepas kembali daripada Sukan Komanwel, bulan lalu.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya. Cuma apa yang pasti semua pemain menunjukkan komitmen yang bagus sewaktu latihan," katanya.

Seramai lapan pemain akan digugurkan daripada senarai 28 pelatih kebangsaan yang kembali melaporkan diri tiga minggu lalu dengan fokus latihan lebih terarah kepada usaha meningkatkan kecergasan pemain.

Rombongan skuad kebangsaan akan berlepas ke Buenos Aires, Ahad ini bagi mengharungi enam aksi persahabatan menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina sebelum dijadualkan ke Australia pula selepas itu.

Perlawanan persahabatan itu sebagai persiapan menjelang Sukan Asia, Ogos depan dan Stephen mengakui aksi persahabatan berkenaan mampu meningkatkan tahap permainan anak buahnya.

"Sebenarnya kita (Konfederasi Hoki Malaysia) boleh mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan lain, tetapi kita pilih pergi ke Argentina dan Australia untuk dapatkan perlawanan yang bagus.

"Argentina pasukan nombor dua dunia dan pemenang emas Sukan Olimpik 2016, jadi kita jangkakan satu perlawanan yang bagus dan mampu tingkatkan tahap permainan barisan pemain negara," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 4:55 PM