DHAARMA percaya skuad negara mampu pamer aksi terbaik menentang Jepun. -Foto fail
DHAARMA percaya skuad negara mampu pamer aksi terbaik menentang Jepun. -Foto fail
Jugjet Singh


JURULATIH skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan anak buahnya menunjukkan peningkatan walaupun tewas 1-3 kepada pasukan ranking kelapan dunia, China dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan hari ini.

Malaysia yang kini menghuni kedudukan ke-22 dalam ranking dunia seterusnya akan berdepan Jepun, Rabu ini.

Jaringan tunggal Malaysia disumbangkan Hanis Nadia Onn pada minit ke-22 manakala gol China dihasilkan Zhang Jinrong (minit ketiga), Li Hong (20) dan Cui Qiuxia (53).

Biarpun tewas, Dhaarma tetap gembira dengan prestasi pasukannya yang memberi saingan hebat terhadap China.

“Lawan kami antara pasukan teratas di Asia (pemenang pingat perak dalam Piala Asia 2017) dan menduduki ranking lebih tinggi daripada kami,” kata Dhaarma.

Malaysia yang ketinggalan 2-0 tetap berjuang untuk mencetak gol dan jaringan ketiga China itu hasil daripada penalti stroke.

“Pada suku keempat, kapten pasukan Siti (Noor Amarina Ruhani) melakukan kekasaran dan China memperoleh penalti stroke. Kami mempunyai peluang yang baik untuk merapatkan jurang tetapi gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti.

“Kami akan berdepan Jepun pada aksi seterusnya selepas berehat sehari dan saya jangka ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar. Jepun sudah pasti bukan lawan mudah apabila mengikat Korea Selatan 1-1 berbanding Malaysia yang tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 8:25 PM