AKSI pemain negara (jersi oren) ketika menentang India.
AKSI pemain negara (jersi oren) ketika menentang India.
Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara akan berdepan China untuk perebutan pingat gangsa Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan, hari ini.

Ia pertemuan ulangan Trofi Juara-Juara 2013 di Kakamigahara, Jepun, yang menyaksikan Malaysia menewaskan Negara Tembok Besar itu 3-1 untuk menamatkan saingan di tangga ketiga.

Bagaimanapun, peluang skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah untuk mengulangi pencapaian itu tampak sukar kali ini apatah lagi tumpas 1-3 di tangan China dalam aksi kumpulan sebelum ini, namun ia tidak akan menghalang mereka untuk menanam impian besar sekali lagi.

Malaysia kini menduduki ranking ke-22 dunia, manakala China kelapan, sementara dalam kalangan negara Asia, China berada di kedudukan kedua dengan Malaysia kelima.

Malah, pasukan yang diketuai Siti Noor Amarina Ruhani itu muncul satu-satunya pasukan aktif dari Asia yang tidak melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di England, Julai depan berbanding China, India, Korea Selatan dan Jepun.

“Semua pemain saya menunjukkan komitmen tinggi pada Trofi Juara-Juara kali ini. Walaupun semua pasukan mempunyai ranking lebih tinggi daripada kami, tapi kami masih mampu memberi tentangan sengit.

“Untuk perhitungan pingat gangsa, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami sudah menentang China dalam aksi kumpulan dan sedar kekuatan dimiliki mereka. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata Dhaarma.

Di Donghae, Malaysia menewaskan Jepun 3-2 selain kalah bermaruah kepada India (2-3) dan Korea Selatan (1-3).

“Pemain muda yang saya senaraikan untuk Trofi Juara-Juara menunjukkan potensi baik dan saya percaya mereka akan menjadi aset berguna untuk pasukan pada masa depan.”

Untuk kali ini, Dhaarma mengambil risiko membawa penyerang Pulau Pinang berusia 18 tahun, Nur Maizatulhanim Syafi dan Nor Asfarina Isahyifika (Sabah) selepas kedua-dua pemain itu menampilkan aksi cemerlang dalam saingan Kelayakan Olimpik Belia 5’s di Bangkok, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:55 AM