SKUAD negara jalani latihan sebelum aksi bertemu India. -Foto FB MHC
SKUAD negara jalani latihan sebelum aksi bertemu India. -Foto FB MHC
Naqib Nor Said

JURULATIH hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah mengingatkan anak buahnya berwaspada dengan ancaman India yang dianggapnya ibarat ‘harimau terluka’ selepas diaibkan Wales 3-2 pada aksi pembukaan Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Bekas pengendali skuad remaja itu berkata, pertemuan dengan India di Pusat Hoki Gold Coast, esok bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dengan rekod buruk pasukannya ketika bertemu juara Asia itu.

Malaysian Tigress tumbang kepada pasukan ranking ke-10 dunia itu dalam semua lima perlawanan sejak 2013 dan terbaru ketika saingan Piala Asia di Jepun, Oktober lalu yang berkesudahan dengan kekalahan 2-0.

“India sudah pasti akan bangkit daripada kekalahan itu,” kata Dhaarma.”Tetapi kami akan bermain dengan sebaik mungkin. Apa yang penting pemain perlu membesar dan matang seperti Wales hari ini yang turun dengan keyakinan dan keinginan tinggi untuk mencipta sejarah.

“Malah saya akui tugas kami kini bertambah sukar. Ini kerana hanya Wales mempunyai ranking di belakang kami. Jadi kemenangan ke atas Wales selepas ini tidak akan memberi jaminan untuk kami menutup kempen kumpulan di depan mereka.”

Dengan menyasarkan penamat keenam, skuad kendalian Dhaarma yang menduduki ranking ke-22 dunia perlu meraih tempat ketiga Kumpulan A yang turut dibarisi pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26).

Tetapi andai tewas pada aksi pertama esok, bermakna peluang skuad negara semakin tipis selepas kemenangan kali pertama Wales ke atas India meletakkan pasukan kerdil dari Eropah itu berada dalam situasi selesa.

Bagi Malaysia, walaupun menyambut semula kepulangan tonggak berpengalaman Fazilla Sylvester Silin yang diketepikan pada dua kejohanan terakhir, tetapi tumpuan pastinya terarah kepada penjaga gol Farah Ayuni Yahya.

Keringat Farah yang juga penjaga gol Terbaik Asia 2016 itu pastinya ditagih selepas Dhaarma yang membuat risikan pertemuan Wales dan India menyifatkan skuad Harendra Singh masih pasukan yang kuat walaupun tewas.

“India memang kuat, cuma kegagalan menyudahkan peluang menyebabkan mereka dipisahkan daripada kemenangan. Bayangkan India memperoleh 15 pukulan sudut penalti sementara Wales sekadar satu.”

INFO:

Rekod pertemuan

Malaysia 0-2 India (Piala Asia 2017)

Malaysia 0-2 India (Trofi Juara-Juara Asia 2016)

Malaysia 1-6 India (Sukan Asia 2014)

Malaysia 0-3 India (Pusingan Kedua WHL 2013)

Malaysia 0-2 India (Piala Asia 2013)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 4:37 PM