PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (dua dari kanan) dikawal ketat pemain Melaka,  Azmi Muslim (kanan) di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (dua dari kanan) dikawal ketat pemain Melaka, Azmi Muslim (kanan) di Stadium Darul Makmur. FOTO/ MUHD ASYRAF SAWAL
Asrol Awang

JARINGAN Patrick Cruz dan Faisal Halim pada babak kedua membantu Pahang mengutip tiga mata apabila menewaskan Melaka United 2-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan Tok Gajah itu meletakkan skuad itu kembali menduduki tangga kedua Liga Super dengan memungut 14 mata daripada tujuh perlawanan.

Namun, separuh masa pertama menyaksikan kedua-kedua pasukan tidak banyak melakukan asakan ke gawang lawan.

Peluang terbaik Melaka United hadir pada minit ke-20 hasil percubaan Jeon Woo Young yang hampir meletakkan skuad itu di depan tetapi bola sedikit melepasi palang tuan rumah.

Bagi tuan rumah pula, dua peluang terbaik dimiliki Nor Azam Azih dan Patrick Cruz berjaya dinafikan penjaga gol lawan, Zamir Selamat, masing-masing pada minit ke-20 dan 39.

Sebaik tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan akur gagal membolosi gawang lawan masing-masing sebagai penyuntik semangat.

Bersambung babak kedua, skuad Tok Gajah berusaha menggandakan asakan ke kubu lawan dalam usaha mengutip tiga mata.

Usaha itu hampir menjadi menerusi Safuwan Baharudin tetapi bola terkena tiang di sebelah kiri walaupun Zamir sudah tertewas pada minit ke-59.

Enam minit kemudian, Melaka United turut berpeluang menjaringkan gol pendahuluan tetapi percubaan R Gopinathan berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias.

Akhirnya, gol pertama dan kedua hadir hasil sentuhan Cruz yang menewaskan Zamir pada minit ke-71 dan Faisal pula pada minit ke-90, sekali gus mengesahkan tiga mata buat skuad Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 11:56 PM