MOYES pernah berdepan kesukaran ketika menggantikan Ferguson di United. -Foto Reuters
MOYES pernah berdepan kesukaran ketika menggantikan Ferguson di United. -Foto Reuters
AFP

DAVID Moyes cukup faham situasi yang menanti individui apabila menggantikan pengendali yang sudah lama berkhidmat di sesebuah kelab, dan pengendali West Ham itu yakin situasi sukar bakal dihadapi sesiapa yang mengisi jawatan Arsene Wenger di Arsenal.

Pengendali Gunners, Wenger semalam mengumumkan yang dia akan meninggalkan kelab itu selepas 22 tahun berkhidmat, yang menyaksikan pengendali 68 tahun dari Perancis itu merangkul tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA bersama kelab utara London berkenaan.

Moyes menghadapi situasi yang dikatakannya itu ketika menggantikan Alex Ferguson di Manchester United selepas pengendali dari Scotland itu menamatkan era 26 tahun di Old Trafford yang dihiasi pelbagai kilauan trofi.

Namun bekas pengendali Everton itu hanya bertahan 10 bulan di Old Trafford sebelum dipecat.

Kini bersama West Ham, Moyes akan membawa Hammers merentasi London bertemu Arsenal pada aksi Liga Perdana esok.

“Ia bukan mudah apabila anda mengisi tempat pengendali yang hebat di kelab besar,” kata Moyes. “Ia pasti sukar bagi sesiapa yang mengambil jawatan itu.

“Ia satu pencapaian menakjubkan buatnya memegang jawatan untuk tempoh sepanjang itu – sama seperti Sir Alex Ferguson. Saya rasa saya sudah melakukannya dengan baik selama 11 tahun di Everton.

“Peminat tegar bola sepak menghargai apa yang dia (Wenger) sudah lakukan. Dia penggiat bola sepak sebenar, dia hidup dan bernafas dengannya, hidupnya diserahkan untuk tugas dan sukan itu.

“Saya mengharapkan dia tidak mengumumkannya sebelum hujung minggu ini tetapi kebanyakan peminat menghargai Arsene dan apa yang sudah dia lakukan untuk bola sepak. Saya menghormatinya sebagai penggiat bola sepak yang bagus.”

West Ham masih belum terselamat daripada ancaman penyingkiran dan, dengan Arsenal berdepan Atletico Madrid pada perlawanan pertama separuh akhir Liga Europa hanya empat hari selepas perlawanan esok, Moyes berharap Wenger akan merehatkan beberapa tonggak utamanya bagi memberi tumpuan kepada saingan Eropah itu.

"Saya rasa kita pernah melihat pertukaran pasukan beberapa kali, malah hanya kerana Piala FA, banyak pasukan Liga Perdana melakukannya. Dalam perebutan empat kedudukan teratas, saya tidak tahu siapa yang rela kalah, tetapi bagi Arsene mungkin keutamaannya adalah Liga Europa,” kata Moyes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 7:54 AM