AKSI penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette (kanan) selepas ledak gol ketika menentang West Ham di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto REUTERS
AKSI penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette (kanan) selepas ledak gol ketika menentang West Ham di Stadium Emirates, sebentar tadi. - Foto REUTERS
AFP

LONDON: Selepas Arsene Wenger membuat pengumuman akan meninggalkan Arsenal hujung musim ini, anak buahnya tampil mempamer aksi menarik ketika mengalahkan West Ham 4-1 di Emirates, sebentar tadi.

Wenger, 68, dikritik hebat penyokong setia Gunners selepas gagal memenangi Liga Perdana sejak 14 musim lalu dan beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan, Jumaat lalu.

Ketika pemain dan barisan kepimpinan kelab menjamin bahawa Wenger akan diberikan sambutan meriah pada aksi terakhirnya nanti, sebilangan penyokong masih lagi enggan mengiktirafnya walaupun pengendali itu pernah memenangi tiga gelaran Liga Perdana serta tujuh Piala FA sejak 22 tahun lalu.

Begitupun, empat gol pada babak kedua menerusi Nacho Monreal, Aaron Ramsey dan Alexandre Lacazette memastikan Wenger boleh meraikan kemenangan itu dengan senyuman.

Baru-baru ini, Wenger merayu penyokong supaya terus menyokongnya bagi baki musim ini apatah lagi Arsenal masih berpeluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi tiket selaku juara Liga Europa.

Tidak ramai penyokong yang menyahut rayuannya itu dan hanya segelintir yang melaungkan ‘hanya ada seorang Arsene Wenger’ dan aksi di tempat sendiri sebentar tadi masih lagi menyaksikan banyak tempat duduk yang kosong.

Arsenal mungkin menamatkan musim di tangga paling rendah sejak dikendalikan Wenger dan kemenangan ke atas West Ham tidak mengubah kedudukan mereka di tempat keenam, enam mata di belakang Chelsea.

Wenger masih lagi boleh meninggalkan kelab dengan bangga jika menjulang Liga Europa di mana Arsenal akan melayan kunjungan kelab Sepanyol, Atletico Madrid pada separuh akhir pertama, Khamis ini.

“Kasih dan sokongan saya terhadap Arsenal tidak akan hilang dan saya mengharapkan penyokong akan terus di belakang kami bagi memastikan kami dapat menamatkan musim ini dengan baik,” kata Wenger selepas mengumumkan peletakan jawatannya.

Wenger bakal menurunkan skuad terkuat dan hanya mengetepikan Petr Cech, Jack Wilshere dan Mesut Ozil untuk berdepan Atletico nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 11:25 PM