KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic (kanan) dan Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic (kanan) dan Pengurus Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian di Stadium Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Azizan Hashim

 

JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic gembira dapat bermain semula di Stadium Perak menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA, bertemu PKNS FC Sabtu ini.

Selepas terpaksa berkelana ke Stadium TLDM, Lumut sejak Februari lalu kerana penutupan Stadium Perak untuk kerja-kerja menaik taraf bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Oktober ini.

"Penyiapan kerja dan penyerahan stadium baru-baru ini memang tepat pada waktunya kerana kami kini boleh benar-benar beraksi di laman sendiri,” kata Durakovic.

"Terus terang saya katakan saya merindui sokongan penyokong di Stadium Perak selepas perlawanan terasa hambar kerana kurang penonton gara-gara beraksi jauh.

"Saya yakin penyokong akan membanjiri stadium pada malam Sabtu ini untuk memberi sokongan kepada pemain Perak.

"Kami perlukan pemain ke-12 ini dalam usaha memadam defisit 1-2 berikutan kekalahan di Shah Alam pada pertemuan pertama.”

Durakovic yakin anak buahnya berupaya mencapai misi mereka itu walaupun bakal berdepan cabaran sukar skuad bimbingan Datuk K Rajagopal.

"Ini peluang terbaik kami mara selangkah lagi. Saya harap pemain lakukan yang terbaik Sabtu ini. Berdasarkan persembahan pemain saya yakin kami mampu lakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 6:13 PM