AKSI pemain PKNS FC, Muhammad Faris Ramli ketika diasak pemain Perak, Robert Richard Cornthwaite pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam. - Foto Hafiz Sohaimi
AKSI pemain PKNS FC, Muhammad Faris Ramli ketika diasak pemain Perak, Robert Richard Cornthwaite pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam. - Foto Hafiz Sohaimi
Zulfaizan Mansor


PERANG taktikal antara dua jurulatih berpengalaman, Datuk K Rajagobal dan Mehmet Durakovic bakal disajikan pada pertembungan PKNS FC dan Perak dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini.

Pengurus pasukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, taktikal daripada Rajagobal menjadi perkara paling penting buat Semut Merah mempertahankan kelebihan satu gol hasil kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lalu.   

Malah, Mahfizul menjelaskan barisan pemainnya perlu menyerap segala tekanan termasuk dari aspek taktikal Durakovic, fizikal dan sorakan ribuan penyokong The Bos Gaurus yang dijangka membanjiri Stadium Perak nanti.

“Perak pasti mendapat semangat tambahan terutama apabila kembali beraksi di Stadium Perak yang ditutup sebelum ini. Malah, moral mereka pasti berada dalam keadaan baik selepas menang ke atas PKNP FC.

“Pertandingan Piala FA ini berbeza dengan liga dan memerlukan perancangan rapi jurulatih untuk membentuk strategi dan taktikal selain menuntut fokus lebih 100 peratus daripada pemain.

“Bagi saya, semuanya bergantung kepada taktikal jurulatih terutama apabila kita akan bertandang ke tempat lawan. Rekod baik PKNS di gelanggang lawan musim ini mungkin boleh diambil kira, tapi kita tidak boleh terlalu yakin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan rekod, PKNS hanya tewas sekali di gelanggang lawan sepanjang musim ini iaitu tunduk 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Malah, Perak pernah tersungkur 0-2 di tangan PKNS dalam aksi liga pada Februari lalu, namun ketika itu The Bos Gaurus menggunakan Stadium TLDM, Lumut sebagai gelanggang rasmi.

Selain itu, Mahfizul turut percaya kehadiran semula Mahali Jasuli yang tidak beraksi ketika berdepan JDT mampu menambah ‘sengat’ pasukan Semut Merah.

“Kita tidak nafikan sumbangan besar Mahali kepada PKNS. Tapi kita tidak boleh lupakan peranan pemain lain yang turut berusaha membantu pasukan dalam mencapai keputusan positif.

“Semua pemain memberikan komitmen penuh dan kita harap dapat melangkah ke separuh akhir Piala FA sebagai hadiah buat penyokong dan pihak pengurusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 8:42 PM