BAPA pemandu Redbull, Max Verstappen, Jos (kiri) mahu anaknya lebih berfikir dan berhati-hati ketika memotong ketika perlumbaan. - Foto AGENSI
BAPA pemandu Redbull, Max Verstappen, Jos (kiri) mahu anaknya lebih berfikir dan berhati-hati ketika memotong ketika perlumbaan. - Foto AGENSI

BAPA Max Verstappen, Jos menasihatkan pemandu Red Bull itu supaya lebih berhati-hati selepas tindakannya memotong dengan cara berbahaya baru-baru ini mencetus kritikan dan gesaan agar dia bertenang.

Pemandu Belanda berusia 20 tahun itu dikenakan penalti 10 saat pada Grand Prix China, kelmarin kerana berlaga dengan pendahulu kejuaraan dari Ferrari, Sebastian Vettel, menyebabkan kedua-dua jentera berpusing.

“Ia tidak patut berlaku,” jelas bekas pemandu Jos kepada stesen TV kabel Belanda, Ziggo. “Ia satu kesilapan jangkaan. Dalam beberapa situasi Max hanya perlu lebih berfikir.

“Saya tidak mahu dia menukar cara pemanduannya. Dia memotong dua pemandu pada permulaan. Dia melakukannya dengan sempurna. Itulah yang anda mahu lihat.

“Tapi kami tidak mahu tindakan sebegini. Dia perlu mengawal diri. Dia perlu berfikir.”

Verstappen turut kerugian masa apabila dia cuba dan gagal memintas juara dunia dari Mercedes, Lewis Hamilton, kedua-duanya bertembung di Bahrain sebelum ini.

Pemandu Belanda itu terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas insiden itu.

Verstappen mungkin boleh menang di China jika dia lebih bersabar namun kemenangan sebaliknya disambar rakan sepasukan dari Australia, Daniel Ricciardo. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 10:57 PM