VERSTAPPEN meraikan kejayaannya. FOTO EPA
VERSTAPPEN meraikan kejayaannya. FOTO EPA
AFP

Abu Dhabi: Max Verstappen muncul pemandu pertama Belanda memenangi gelaran dunia Formula Satu (F1) selepas melakar kemenangan dramatik pada pusingan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi, sebentar tadi.

Pemandu Red Bull itu meraih kemenangan ke-10 pada musim ini apabila mengambil kesempatan kemasukan kereta keselamatan buat kali kedua selepas Nicholas Latifi mengalami kemalangan.

Verstappen kemudian memotong juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton pada pusingan terakhir.

Verstappen dan Hamilton yang menuju ke pusingan terakhir dengan berkongsi mata di kedudukan teratas, saling bersaing sengit antara mereka ketika menuju ke garisan penamat.

Hamilton yang memenangi tiga pusingan terakhir sebelum ini, bermula baik apabila memotong Verstappen sebelum selekoh pertama.

Kereta keselamatan memasuki litar buat kali kedua pada pusingan ke-54 dan ia menyaksikan Verstappen memasuki pit sekali lagi untuk menukar tayar.

Sebaik sahaja kereta keselamatan keluar dari litar ketika berbaki satu pusingan, Hamilton dan Verstappen terus bersaing sengit menuju ke garisan penamat.

Dengan tayar yang masih baru, Verstappen berjaya memotong Hamilton sekali gus memenangi perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 11:10 PM