GUARDIOLA pasti belanja besar untuk mantapkan pasukan musim depan. FOTO/AFP
GUARDIOLA pasti belanja besar untuk mantapkan pasukan musim depan. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Perbelanjaan Pep Guardiola di Manchester City boleh melepasi £600 juta (RM3.29 bilion) dalam tempoh dua tahun apabila beliau merancang untuk mendapatkan tiga lagi pemain pada musim panas ini susulan kegagalan di pentas Eropah.

Selain kekecewaan dalam kempen Liga Juara-Juara, City dikatakan perlu terus berbelanja besar bagi mengekalkan dominasi mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL).

City disingkirkan Liverpool 1-5 secara agregat di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara, semalam yang menjadi minggu terburuk Guardiola selepas turut tewas 2-3 kepada Manchester United dalam saingan domestik.

Ia menjadi detik paling mengecewakan buat pengurus dari Sepanyol itu terutama di saingan Eropah selain melanjutkan kemarau trofi di pentas elit itu sejak 2014 ketika mengendalikan Bayern Munich.

Sejak mengemudi City pada Jun 2016, bos di City sudah memberikan dana hampir £450 juta (RM2.47 bilion) dan mereka tetap mempercayai Guardiola serta akan meneruskan rancangan untuk mendapatkan beberapa lagi pemain termasuk penyerang.

Pemain Borussia Dortmund, Julian Weigl, bintang Shakhtar Donetsk, Fred, pemain Napoli Jorginho, Jean-Michel Seri (Nice) dan penyerang Monaco, Thomas Lemar yang semuanya bernilai £40 juta (RM219 juta) ke atas antara dikatakan menjadi buruan City.

Selepas kekalahan kepada Liverpool, Guardiola memberi petunjuk akan melakukan perbelanjaan mewah pada musim panas depan selepas mendakwa ‘mustahil’ buat City mencabar kejuaraan besar tanpa pelaburan besar.

“Mustahil untuk melakukannya, untuk bermain dengan cara kami bermain, keputusan yang kami dapat, tanpa pemain terbaik,” kata Guardiola.

“Dan pada hari ini, pemain terbaik memerlukan perbelanjaan yang amat banyak. Apabila kamu berkata, ‘Pep, apa yang kamu lakukan di Barcelona atau Bayern Munich, adalah mustahil untuk melakukannya tanpa pemain terbaik? Tidak, ia mustahil, jadi bertenang.

“Kami memerlukan duit untuk berbelanja dan bermain di tahap ini sepanjang masa. Untuk mencapai keputusan itu kamu memerlukan pelaburan. Jika tidak, kamu memerlukan keajaiban dan saya tidak mampu melakukannya.”

Selepas mengharungi tiga kekalahan berturut-turut, City dijadual mengharungi satu lagi aksi sukar menentang pasukan tangga keempat EPL, Tottenham Hotspur, awal pagi Ahad ini dengan kemenangan akan mengesahkan kejuaraan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 2:17 PM