GUARDIOLA (kanan) sempat melayan peminat ketika sesi latihan City.
GUARDIOLA (kanan) sempat melayan peminat ketika sesi latihan City.
AFP

Brighton: Selepas Manchester City berbelanja sakan £200 juta (RM1.1 bilion), Pep Guardiola kini dalam keadaan tertekan bagi memastikan musim keduanya di Liga Perdana Inggeris lebih berjaya berbanding musim sulungnya.

Guardiola berdepan masalah dalam kempen sulungnya di Eastlands apabila pengendali dari Sepanyol itu gagal menang sebarang trofi buat kali pertama dalam sejarah sebagai pengurus.

Pasukan tangga ketiga City berakhir 15 mata di belakang juara Liga Perdana, Chelsea, tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan AS Monaco dan gagal layak ke final kedua-dua pertandingan piala domestik.

Guardiola mengakui persembahan sebegitu akan menyaksikannya dipecat jika berada di bekas kelabnya Barcelona dan Bayern Munich.

Bagaimanapun City, yang memulakan kempen Liga Perdana di kelab pendatang baru Brighton malam esok, memberikan Guardiola masa untuk membentuk skuadnya dan perbelanjaan sakan ketika pramusim meletakkannya dalam kedudukan lebih baik kali ini.

Pembentukan semula skuad itu membabitkan pembelian lima pemain utama.

Hampir £130 juta (RM726 juta) dilaburkan terhadap pemain pertahanan ketika Guardiola memantapkan bentengnya dengan pemain Tottenham, Kyle Walker, Benjamin Mendy dari Monaco dan pemain Real Madrid, Danilo.

Ketiga-tiga pemain itu mempunyai kepantasan untuk mengubah dari bertahan ke serangan secara pantas, kekurangan City musim lalu.

Guardiola berharap penjaga gol Ederson, dibeli dari Benfica dengan harga £34.9 juta (RM195 juta) kurang melakukan kesilapan berbanding Claudio Bravo, yang menjadi antara faktor kegagalan City memburu kejuaraan.

City kelihatan mantap di bahagian serangan dengan Bernardo Silva, dibeli dari Monaco dengan harga £43 juta (RM240 juta) mampu mencetus kreativiti tambahan.

“Kami sudah bersedia kerana kami sudah berada di tahap yang baik tapi kami belum mampu membuktikan apa-apa ketika ini,” kata kapten City, Vincent Kompany.

“Terus melakukan apa yang kami buat dalam tiga perlawanan terakhir dan pasti ia menarik.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 12:16 PM