PENJAGA gol AS, Brad Guzan menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi   Rodriguez (tengah)   di Stadium Busch. - FOTO Agensi
PENJAGA gol AS, Brad Guzan menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Rodriguez (tengah) di Stadium Busch. - FOTO Agensi
AFP

AMERIKA Syarikat mengakhiri dua kekalahan berturut-turut selepas jaringan Jordan Morris pada babak kedua mengikat keputusan 1-1 menentang Uruguay dalam aksi persahabatan antarabangsa di St.Louis, awal pagi tadi.

Skuad Gregg Berhalter mahu melupakan kekecewaan dibelasah Mexico 0-3 di New Jersey, Jumaat lalu tetapi mereka bergelut ketika menentang Uruguay dalam cuaca panas di Stadium Busch, venue pasukan baseball St.Louis Cardinals.

Uruguay yang beraksi tanpa penyerang berbisa, Luis Suarez dan Edinson Cavani jarang digugat AS pada babak pertama.

Pasukan Amerika Selatan itu hampir mendahului pada minit keenam apabila penyerang berpangkalan di Mexico, Jonathan Rodriguez bijak meloloskan diri ke dalam kotak penalti namun percubaannya sempat dihalang pertahanan tuan rumah.

Cristian Roldan terlepas peluang buat AS empat minit kemudian apabila tandukan kencangnya diselamatkan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.

Uruguay akhirnya memecah kebuntuan jaringan lima minit selepas rehat apabila serangan balas pantas oleh bintang Los Angeles FC, Brian Rodriguez disempurnakan Aaron Long yang merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol AS, Brad Guzan.

AS yang tidak jemu melancarkan serangan akhirnya memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke-79 apabila bola tendangan pertahanan lawan terkena Nick Lima yang kemudiannya melantun ke arah Morris yang mudah menolak bola menggunakan dada ke gawang Uruguay.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:44 AM