PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe beri peluang kepada pemain muda timba pengalaman. - Foto Owee Ah Chun
PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe beri peluang kepada pemain muda timba pengalaman. - Foto Owee Ah Chun
Devinder Singh

 

PENGENDALI skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bersedia memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk menyerlah sebagai persiapan mengharungi saingan Piala AFF, hujung tahun ini.

Sembilan pemain daripada skuad bawah 23 (B-23) tahun dipilih menyertai skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan bertemu Mongolia di Bukit Jalil pada 22 Mac dan juga aksi Kelayakan Piala Asia bertemu Lubnan di Beirut, 27 Mac ini.

Berdasarkan sembilan pemain yang belum lagi pernah beraksi bersama skuad senior termasuk dua pemain berdarah kacukan, Natxo Insa dan juga La'Vere Corbin-Ong, Cheng Hoe juga menuntut pemain baharu supaya menimba pengalaman sekali gus membentuk persefahaman yang lebih baik.

"Pasukan ini bayangan kepada skuad yang akan beraksi pada Piala AFF, namun akan ada beberapa perubahan yang dilakukan selepas ini.

"Walaupun agak ramai pemain muda namun mereka sudah memiliki pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa. Ada yang pernah beraksi di peringkat B-23, jadi saya melihat kekurangan pengalaman tidak seharusnya menjadi masalah," katanya.

Prestasi cemerlang yang dilakar skuad B-23 apabila berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 menyaksikan khidmat beberapa pemain mereka turut ditagih Cheng Hoe.

Matthew Davies (14 penampilan), Safawi Rashid (6), Nor Azam Azih (2) dan Adam Nor Azlin (1) adalah pemain B-23 yang pernah menyertai skuad senior sebelum ini dan rakan sepasukan yang menyertai mereka adalah Akhyar Rashid, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak, Syahmi Safari serta Haziq Nadzli.

"Kalau anda lihat di Eropah, pemain B-23 mereka turut beraksi dalam skuad senior dan saya percaya pemain muda kita mampu untuk menyaingi pemain senior," katanya.

Dijadualkan bertemu Mongolia, Cheng Hoe kini mengharapkan rentetan 10 perlawanan tanpa kemenangan sejak November 2016 sehingga menyaksikan ranking negara jatuh ke tangga-175 dapat ditamatkan.

Kemenangan ke atas Mongolia sudah pasti dapat memberikan motivasi menjelang aksi bertemu pendahulu Kumpulan B, Lubnan.

"Kita sudah tidak layak ke Piala Asia namun sebagai jurulatih, saya juga tidak mahu tewas di tangan Lubnan. Sangat penting kepada pemain baharu untuk menunjukkan persembahan yang positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 9:27 PM