RAZMAN (kanan) akui Selangor perlu perkemas benteng jika tidak mahu hilang tiga mata. -Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
RAZMAN (kanan) akui Selangor perlu perkemas benteng jika tidak mahu hilang tiga mata. -Foto Mohd Badlishah Mohd Ali
Asrol Awang


KAPTEN Selangor, Razman Roslan mengakui skuad itu perlu memperkemaskan bahagian pertahanan apabila melayan kunjungan Pahang di Stadium KLFA, Cheras, Sabtu ini.

Katanya, segala kelemahan ketika tewas 1-4 kepada Terengganu FC (TFC) sudah diperbaiki untuk kembali kepada prestasi sebenar.

“Bagi saya, Pahang sebuah pasukan yang bagus ketika ini dan Selangor pada musim ini memberi kepercayaan kepada pemain muda memerlukan kami bekerja keras untuk membentuk sebuah pasukan mantap.

“Tapi ia tidak bermakna kami tidak boleh memberi saingan kerana kelebihan bermain di tempat sendiri serta dibantu sokongan padu daripada penyokong Sabtu ini.

“Sasaran kami adalah mengutip tiga mata biarpun lawan dilihat semakin menunjukkan prestasi mantap selepas tiga perlawanan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Razman yang pernah menyarung jersi skuad Tok Gajah daripada tahun 2013-2015 berkata, menjelang perlawanan itu, tiada perubahan besar dilakukan skuad berkenaan.

Sebaliknya, ia lebih kepada menutup segala kelemahan serta memperkasakan kembali pasukan terutama di posisi pertahanan.

“Apa yang perlu kami lakukan adalah tidak bersikap sambil lewa dan mengawal permainan dengan baik untuk kembali beroleh kemenangan,” katanya.

Musim ini, skuad bimbingan P Maniam memulakan kempen Liga Super dengan cemerlang dengan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur dan Melaka (4-1) sebelum tewas mengejut 1-4 ke atas TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 7:25 PM