RAZMAN (kanan) kutip tiga kad kuning.
RAZMAN (kanan) kutip tiga kad kuning.
Devinder Singh

Shah Alam: Ketiadaan Razman Roslan kerana hukuman penggantungan menyukarkan perancangan ketua jurulatih, P Maniam untuk mengatasi masalah kerapuhan barisan pertahanan Selangor menjelang pertemuan Liga Super dengan Perak di Lumut, Ahad ini.

Kapten skuad Red Giants itu dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning dan ketiadaannya itu hadir ketika Selangor berada dalam situasi tidak menentu.

Ia jelas apabila mereka yang kini menghuni tangga kelima liga dengan enam mata dibolosi tujuh gol dalam dua aksi terakhir - kesan kekalahan 1-4 di Terengganu pada 10 Februari lalu dan tumpas 1-3 di tangan Pahang dua minggu kemudian.

Walaupun tidak bolos ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas MOF FC dalam aksi pusingan ketiga Piala FA minggu lalu, Selangor memerlukan sehingga 70 minit permainan untuk membuka jaringan.

Razman yang juga pertahanan tengah bagaimanapun berkata, dia tetap menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan rakan sepasukannya untuk memastikan kempen Selangor kembali ke landasan yang betul.

“Saya tahu ketiadaan saya sedikit sebanyak menjejaskan pasukan tetapi saya percaya kami mempunyai pemain lain yang mampu mengambil tanggungjawab ini,” kata pemain berusia 33 tahun itu.

“Saya yakin Selangor masih boleh melakukan yang terbaik. Terdapat dua atau tiga pemain boleh menggalas tanggungjawab tetapi apapun ia terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan pengganti saya.

“Saya fikir ia satu petanda bagus untuk pasukan apabila terdapat pemain yang bersaing untuk mendapat tempat kesebelasan utama.” katanya.

Ashmawi Yakin atau M Tamil Maran mungkin bakal menjadi pilihan untuk menggantikan Razman bagi beraksi di sisi dua pertahanan lain Selangor iaitu Fairuz Abd Aziz dan Willian Pacheco.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:42 AM