Petaling Jaya: Pemenang Anugerah Penyerang Terbaik Kebangsaan 2014 Mohd Nor Farhan Muhammad akur dengan hakikat prestasinya musim ini belum cukup hebat untuk berada dalam skuad Harimau Malaya ke Piala AFF di Singapura bermula 23 November ini.

Pemain berusia 29 tahun itu yang beraksi dengan pasukan negeri kelahirannya Terengganu berjaya mengetepikan saingan dua lagi calon penyerang terbaik S Chanturu dari Sarawak dan Bobby Gonzales (PDRM) untuk mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lalu ketika cemerlang mewakili Kelantan.

“Saya gembira kerana memenangi anugerah ini buat kali kedua berturut-turut dan berterima kasih kepada rakan sepasukan dan penyokong yang banyak memberi sokongan selama ini. Kejayaan ini sememangnya menjadi pemangkin semangat untuk saya,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 semalam.

Di sebalik kejayaan itu, Nor Farhan hanya berada dalam senarai menunggu bagi skuad kebangsaan ke Piala AFF dan kali terakhir dia bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu ketika Malaysia tewas 1-4 kepada Tajikistan dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 8 Ogos lalu.

“Saya faham tapi tidak terkilan kerana pernah dipanggil jurulatih Dollah (Salleh) sebelum ini. Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri dan beliau pasti tahu siapa yang diperlukan dalam pasukan. Bagi saya, jika khidmat diperlukan, saya sentiasa bersedia,” katanya yang meledak lapan gol dalam kempen Liga Super musim ini dan bakal kembali ke Kelantan musim depan.

Turut berkongsi nasib sama, pemain Pahang Mohd Razman Roslan yang dinobat Pemain Pertahanan Terbaik, namun tiada dalam perancangan Dollah bersama Harimau Malaya ke Singapura minggu depan.

Razman, 30, yang membentuk gandingan mantap bersama Damion Stewart di pertahanan tengah skuad Tok Gajah hingga menjulang Piala FA dan Piala Malaysia musim ini menganggap pemain yang berada dalam skuad kebangsaan adalah yang terbaik.

“Jurulatih mempunyai penilaian tersendiri, saya tidak kisah kerana bagi saya semua pemain dipilih terbaik. Memang setiap pemain mahu beraksi bersama skuad kebangsaan, tapi saya percaya jurulatih Dollah Salleh tahu keupayaan saya kerana saya pernah bermain di bawah kendaliannya,” katanya yang mengesahkan untuk terus kekal bersama Pahang meskipun pada awalnya dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:09 AM