Helmi Talkah

 

PEMAIN beregu campuran negara, Goh Soon Huat (gambar) bersedia untuk kembali beraksi dalam acara perseorangan jika khidmatnya diperlukan pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan.

Minggu lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan nama Soon Huat dan pasangannya, Shevon Lai Jamie untuk beraksi pada temasya berkenaan bagi menggantikan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang digugurkan selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Bagaimanapun, Soon Huat sudah dimaklumkan yang dia perlu bersedia untuk kembali beraksi dalam acara perseorangan jika sesuatu menimpa jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei termasuk kecederaan.

Malaysia hanya menyenaraikan Chong Wei bagi menggalas tugas acara perseorangan lelaki dalam saingan berpasukan dan individu.

“Jurulatih ada memberitahu saya mengenai perkara ini, jadi saya perlu bersedia. Memang sukar untuk kembali bermain dalam acara perseorangan terutama untuk mendapatkan semula rentak pergerakan kaki kerana ia berbeza dengan beregu tetapi saya akan buat persiapan terbaik ketika latihan,” kata Soon Huat.

Soon Huat yang sebelum ini beraksi dalam acara perseorangan bertukar kepada acara beregu campuran pada awal 2016 dan digandingkan bersama Shevon.

Mengulas mengenai pemilihannya dengan Shevon untuk bermain pada Sukan Komanwel, Soon Huat jelas terkejut tetapi teruja untuk membuat penampilan pada temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.

“Ini juga adalah salah satu impian saya untuk bermain pada Sukan Komanwel. Kini, ia menjadi kenyataan dan saya janji akan beri aksi terbaik sepanjang temasya itu nanti.

“Untuk permulaan saya dan Shevon meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir. Saya yakin kami mampu menyumbang satu pingat untuk Malaysia dalam saingan individu,” kata Soon Huat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 1:48 PM