AQIL (kiri) raih emas kedua acara 200m.
AQIL (kiri) raih emas kedua acara 200m.
Mohd Khairie Khalid

RAJA pecut Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Muhammad Aqil Yasmin terus menguasai acara balapan apabila meraih pingat emas acara 200 meter (m) di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Aqil yang mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencatat 21.64 saat (s), menewaskan Sharimien Saimoh dari Kolej Komuniti Malaysia (22.23s) yang meraih perak sementara gangsa milik Mohd Shamimi Azmi dari Universiti Malaya (22.24s).

Bagi Aqil, rezeki tahun ini jelas memihak kepadanya apabila pesaing utama dalam acara ini, G Aravinn Thevarr tidak mengambil bahagian kerana menyertai Kejohanan Pra Sukan Asia di Indonesia yang dijadual bermula esok.

“Alhamdulillah saya berjaya meraih emas acara 100 dan 200m di SUKIPT kali ini, sekali gus mencapai sasaran UiTM,” kata Aqil yang turut membantu UiTM memenangi pingat gangsa dalam acara 4x400m, hari ini.

“Pesaing tahun ini sedikit berbeza kerana di SUKIPT pertama, saya lari bersama Aravinn. Tapi hari ini dia tidak ada kerana menyertai temasya di Indonesia. Jadi rezeki saya meraih emas tahun ini.”

FATHIN (dua dari kiri) ungguli acara 200m.
FATHIN (dua dari kiri) ungguli acara 200m.

Aqil yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2017 di Taipei, Taiwan Ogos lalu itu berharap mampu meningkatkan prestasinya pada edisi SUKIPT akan datang.

Sementara itu, Fathin Faqihah Mohd Yusuf dari Universiti Malaysia Sabah pula meraih emas acara 200m wanita dengan catatan 25.76s.

Bagaimanapun Fathin diberikan tentangan sengit oleh Montita Sombotchai dari Suratthani Rajabhat University (25.94s) yang meraih perak sementara gangsa milik M R Tanalaksiumy (Universiti HELP), 26.02s.

Fathin mengakui kejayaan meraih emas hari ini menjadi pengubat duka selepas dia gagal mendapatkan pingat dalam acara kegemarannya, 400m pada edisi ini.

“Sebenarnya saya tidak letakkan sasaran dalam acara 200m, tetapi ketiadaan Zaidatul Husniah Zulkifli memberi kelebihan buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:12 PM