YING Ying Lee tewas kepada pemain Sepanyol, Carolina Marin pada suku akhir Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
YING Ying Lee tewas kepada pemain Sepanyol, Carolina Marin pada suku akhir Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah


PEMAIN perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying mengakui pengalaman menjadi pemisah antara dia dengan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Carolina Marin dari Sepanyol.

Hasrat Ying Ying mencipta kejutan ke atas pemain nombor empat dunia itu tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan Marin apabila tewas 17-21, 16-21 dalam aksi suku akhir Malaysia Masters di Arena Axiata Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, Ying Ying, 20, menyifatkan pertemuan dengan Marin sebagai pengalaman berharga dan dapat belajar banyak perkara menerusi kemahiran yang ditunjukkan lawannya itu.

“Ini pengalaman paling berharga kerana bukan mudah dapat menentang pemain utama dunia. Banyak yang saya belajar dalam perlawanan ini terutama daripada aspek kepantasan dan bagaimana menyerap tekanan keadaan di atas gelanggang biarpun ketinggalan.

“Peluang terbaik saya untuk sekurang-kurangnya menang satu set ketika di set pertama apabila saya berjaya mendahului beberapa mata.

“Namun, saya tidak sabar mengutip mata dan cuba mematikan setiap pukulannya tetapi dia tetap tenang mengawal keadaan,” kata Ying Ying ketika ditemui selepas perlawanan.

Ying Ying, berkata kekalahan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menunjukkan persembahan terbaik terutama dalam usaha mendapat tempat bagi mewakili skuad wanita negara ke saingan Piala Uber 2018 di Bangkok, Thailand.

Pemain muda negara itu tidak disenaraikan dalam skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan yang juga pusingan kelayakan ke Bangkok.

Malaysia meletakkan sandaran untuk acara perseorangan wanita ke atas bahu, Sonia Cheah, Goh Jin Wei, Lim Yin Fun dan S Kisona.

Bagaimanapun, pintu masih terbuka buat Ying Ying untuk beraksi di pusingan akhir di Bangkok jika terus mempamerkan aksi konsisten dalam kejohanan seterusnya dan jika Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke Piala Uber.

“Saya tidak kecewa biarpun tidak disenaraikan untuk pusingan kelayakan, sebaliknya ia cabaran untuk saya meningkatkan prestasi dan cuba mendapat tempat bagi pusingan akhir Piala Uber,” kata Ying Ying yang turut mara sehingga suku akhir Thailand Masters, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 6:14 PM