NAZIHAH mara ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain kelayakan dari Wales, Ali Hemingway 11-8, 11-7, 2-11, 6-11, 11-4. Foto fail
NAZIHAH mara ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain kelayakan dari Wales, Ali Hemingway 11-8, 11-7, 2-11, 6-11, 11-4. Foto fail
Devinder Singh


NAZIHAH Hanis Razak berjaya menyelamatkan maruah tuan rumah apabila mara ke separuh akhir Sirkit Pertama Jelajah Skuasy Malaysia di Seri Menanti hari ini selepas pilihan utama kategori lelaki, Addeen Idrakie Bahtiar tersingkir.

Pemenang pingat perak beregu wanita Sukan SEA 2017 itu, berjaya menumpaskan pemain kelayakan dari Wales, Ali Hemingway 11-8, 11-7, 2-11, 6-11, 11-4 untuk mengikut jejak langkah Aika Azman sebagai wakil negara ke separuh akhir di Seri Menanti Golf Club Negeri Sembilan.

“Saya sangat tenang dengan cara permainan saya dan berjaya mendahului 2-0 tetapi mula hilang fokus pada permainan ketiga serta keempat apabila setiap pukulan saya kurang menjadi.

“Pada permainan kelima, saya lebih tenang dan mula fokus, dengan mempamerkan permainan seperti di awal saingan,” kata Nazihah, yang mara ke separuh akhir Jelajah PSA buat kali pertama sejak 2016 di Terbuka North Coast di Australia.

Pemain nombor 110 dunia itu akan berdepan wakil India, Sunayna Kuruvilla, yang mengejutkan pilihan kedua dari Filipina Jemyca Aribado 11-4, 8-11, 13-11, 11-6 untuk mara ke separuh akhir.

“Sunayna bermain dengan baik berbanding semalam dan saya harus kekal fokus untuk aksi esok,” tambah Nazihah berusia 20 tahun.

Aika, yang agak bergelut untuk melepasi halangan pemain remaja, Ooi Kah Yan 4-11, 11-9, 9-11, 11-7, 13-11, akan berdepan pilihan utama Perancis, Enora Villard dan berharap pertemuan sesama sendiri pemain negara di pentas akhir.

Enora dipaksa berhempas-pulas berdepan juara tiga kali Terbuka Remaja Britain, Aifa Azman sebelum mencatat kemenangan 11-7, 12-14, 5-11,11-7, 11-9.

Pemain wildcard, Hannan Tarmidi menang 8-11, 11-7, 14-12, 11-9 ke atas pilihan kedua dari Perancis, Geoffrey Demont.

Hannan, yang menyingkirkan pilihan keenam, Elvinn Keo dalam pusingan pertama, akan berdepan pemain Pakistan, Syed Ali Mujtaba Shah Bokhari di separuh akhir.

Selepas bermain lima permainan untuk melepasi pemain kelayakkan Gurshan Singh di pusingan pertama, pemain kebangsaan, Addeen tumpas 11-7, 12-10, 7-11, 14-12 kepada pemain ranking 127 dunia Asim Khan dari Pakistan dalam tempoh 76 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 11:59 PM