TEVEZ nyatakan hasrat untuk berehat namun belum umumkan persaraan. -FOTO EPA
TEVEZ nyatakan hasrat untuk berehat namun belum umumkan persaraan. -FOTO EPA
AFP

Buenos Aires: Pemain berpengalaman Argentina, Carlos Tevez semalam mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Boca Juniors dan tidak lagi akan bermain bola sepak untuk negaranya namun tidak akan bersara secara rasmi.

Pemain berusia 37 tahun itu akan meninggalkan Boca, kelab bola sepak kesayangannya dan berkata: "darahku bukan merah, bukan biru dan kuning, - saya mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga".

"Karier saya bersama Argentina sudah tamat. Saya sentiasa mengatakan satu-satunya kelab yang akan saya wakili (di sini) adalah Boca, itu tidak boleh dipersoalkan," kata Tevez.

Bekas pemain Manchester United, Manchester City dan Juventus kehilangan ayah angkatnya, Segundo Tevez pada Februari kerana Covid-19 pada usia 58.

"Boca meminta anda untuk memberi maksimum dan secara mentalnya kondisi saya tidak boleh melakukannya. Belum cukup saya merapati kehilangan ayah saya dan saya sudah kena bermain lagi. Itu yang dituntut oleh Boca," katanya sambil menangis.

Ketika ditanya adakah dia mencari kelab baru di luar negara, Tevez hanya menjawab dia tidak tahu apa yang akan dilakukan seterusnya.

"Saya tidak pernah menjangka saat ini akan tiba tapi saya di sini untuk memberi tahu anda bahawa saya tidak akan terus bersama kelab. Ia bukan untuk ucap selamat tinggal kepada baju ini tapi saya akan jumpa anda kembali kerana saya sentiasa berada di sini, tapi bukan sebagai pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 1:48 PM