HAMIDIN harap penyokong Harimau Malaya tunggu buat sementara waktu.
HAMIDIN harap penyokong Harimau Malaya tunggu buat sementara waktu.
Aziman Rosdi


SIAPAKAH yang bakal menggambil alih tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya kembali menjadi persoalan selepas jurulatih Nelo Vingada mengambil keputusan meletakkan jawatan hari ini.

Selain Vingada dua lagi pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho (penolong jurulatih) dan Francisco Jose Bruto Da Costa (jurulatih kecergasan) turut ‘angkat kaki’ selepas tidak sampai tujuh bulan bersama skuad kebangsaan.

Bagaimanapun seorang lagi penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe masih kekal bersama pasukan sekali gus mencetuskan kemungkinan bekas pengendali Kedah itu bakal diberikan tugas itu sekurang-kurangnya sehingga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menemui pengganti baru.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka masih belum membuat keputusan mengenai jurulatih baru itu namun memberi jaminan ia akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

“Tentang pengganti, kita akan umumkan nanti secepat yang boleh, jadi kita kena tunggu buat sementara waktu. Memandangkan tugasan skuad kebangsaan pada bulan Mac depan untuk habiskan baki pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala AFF pada November, jadi kita ada sedikit masa untuk maklumkan jurulatih baru.

“Calon luar atau tempatan, biar Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) buat keputusan dan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Vingada yang digelar ‘The Professor’ dilantik secara rasmi pada 15 Mei tahun ini dan terus mengetuai pasukan menentang Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Hanya satu keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong di kelayakan Piala Asia 2019 menjadi mata tunggal diraih Vingada sepanjang tujuh perlawanan bersama skuad kebangsaan.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan di Buriram, Thailand awal bulan lalu menjadi keputusan paling buruk dicatatkan Vingada sekali gus menyaksikan anak buahnya gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.

Keputusan buruk itu mendorong bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan itu meletakkan jawatan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 11:07 PM