SERBEGETH akui Cheng Hoe perlu hadir dengan idea baru untuk tangani isu pemain kecergasan pemain. -Foto fail
SERBEGETH akui Cheng Hoe perlu hadir dengan idea baru untuk tangani isu pemain kecergasan pemain. -Foto fail
Aziman Rosdi


BEKAS pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menggesa jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menggunakan pendekatan baru dalam menangani masalah mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Piala AFF 2018 November ini.

Katanya, isu pemain kebangsaan gagal mendapat tempat dalam skuad negeri dan kelab masing-masing bukan lagi asing serta menjadi antara punca kepada masalah kecergasan mereka tidak mencapai tahap perlawanan antarabangsa.

“Masalah pemain kebangsaan kurang beraksi dalam liga adalah satu cabaran yang perlu di hadapi Cheng Hoe kerana beliau tidak boleh memaksa mana-mana jurulatih supaya menurunkan pemain yang ingin dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Bila tidak bermain, mereka berdepan masalah kecergasan dan di sini mungkin Cheng Hoe boleh memberi jadual latihan lain kepada pemain yang berada dalam perancangannya untuk kekal cergas.

“Dengan saingan liga kerap berhenti, Cheng Hoe boleh memanggil pemain untuk latihan singkat selama dua, tiga hari bagi ujian kecergasan atau pun latihan persahabatan sesama sendiri atau dengan mana-mana kelab tempatan,” katanya.

Sukan NSTP semalam melaporkan keluhan Cheng Hoe mengenai prestasi pemain dalam perancangannya yang tidak beraksi dalam pasukan masing-masing.

Bekas jurulatih Kedah itu berharap pemain tempatan terus berusaha keras bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama agar tidak tercicir daripada skuad ke Piala AFF nanti.

Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby berkata, selepas Harimau Malaya dibawah kendalian Nelo Vingada mengharungi tahun 2017 tanpa sebarang kemenangan, Cheng Hoe perlu lebih berani dalam membentuk skuad baru.

“Tahun lalu dengan pemain yang sama kita tidak meraih sebarang kemenangan jadi kenapa kita perlu menggunakan pemain sama. Pemain yang kerap beraksi juga tidak menyerlah. Jadi Cheng Hoe juga boleh menggunakan pemain baru kali ini.

“Harimau Malaya seharusnya tidak perlu ada tekanan kerana kalau dapat menang satu atau dua perlawanan tahun ini sudah boleh di anggap satu peningkatan berbanding tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 1:08 PM