KHAIRUL (dua dari kanan) menerima insentif daripada Wai Yin atas kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA 2017. Turut hadir, F&N Consultant Datuk Kamal Harun (kiri) dan Manager Corporate Affairs F&N Cariessa Goh. FOTO/BERNAMA
KHAIRUL (dua dari kanan) menerima insentif daripada Wai Yin atas kejayaannya memenangi pingat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA 2017. Turut hadir, F&N Consultant Datuk Kamal Harun (kiri) dan Manager Corporate Affairs F&N Cariessa Goh. FOTO/BERNAMA
Mohd Khairie Khalid


RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dan jaguh badminton kebangsaan Goh Jin Wei masing-masing menerima insentif sebanyak RM10,000 daripada penaja, 100PLUS susulan kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Kedua-dua atlet itu adalah duta jenama 100PLUS. Khairul Hafiz meraih emas pecut 100m dengan kepantasan 10.38s di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ogos lalu, sementara Jin Wei menumpaskan rakan senegara Soniia Cheah 21-10, 21-10 pada perlawanan akhir perseorangan wanita di Arena Axiata.

Pengurus pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin menzahirkan perasaan bangga kerana kedua-dua atlet itu masih muda dan mempunyai masa depan cerah, sekali gus memaklumkan akan terus memberikan sokongan untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Ada dua lagi kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel pada April dan Sukan Asia (September) jadi kami berharap kedua-dua atlet ini akan mengambil bahagian serta menceriakan seluruh rakyat Malaysia,” kata Wai Yin pada majlis penyerahan insentif 100PLUS yang dihadiri Khairul Hafiz di sini, hari ini.

Jin Wei bagaimanapun tidak hadir kerana sedang menyertai Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia.

Sementara itu, Khairul Hafiz ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada 100PLUS, jurulatih (Mohd Poad Md Kassim) dan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepadanya hingga mampu bergelar pelari terpantas di Asia Tenggara ketika ini.

“Terima kasih 100PLUS, ini adalah motivasi buat saya untuk terus maju terutamanya untuk menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan. Saya baru pulih daripada kecederaan, itu yang menyebabkan saya agak diam buat seketika malah saya juga sudah menjalani kembali latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

“Untuk acara 4x100m pula, andai kata pasukan kami layak beraksi di Sukan Komanwel atau Sukan Asia, Insya-Allah kami akan buat yang terbaik,” katanya yang sebelum ini berharap dapat menjalani latihan di Jepun supaya dapat berlari bersama jaguh pecut muda Jepun, Abdul Hakim Sani Brown yang pernah mencatat kepantasan 10.05s.

Selaku penaja perak KL2017, 100PLUS turut mempunyai beberapa duta jenama lain iaitu Datuk Lee Chong Wei, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh V Shem, Tan Wee Kiong dan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:56 PM