WINDSOR akan mengumumkan tarikh baru dan stadium bagi aksi Korea Utara menentang Malaysia selepas aksi kelayakan. FOTO/OSMAN ADNAN
WINDSOR akan mengumumkan tarikh baru dan stadium bagi aksi Korea Utara menentang Malaysia selepas aksi kelayakan. FOTO/OSMAN ADNAN
Zulfaizan Mansor


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tidak perlu bimbang mengenai tarikh baru bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menjelaskan perlawanan itu akan dilangsungkan mengikut kalendar yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata, ia bagi memastikan segala persiapan pasukan kebangsaan berjalan baik selain tidak mengganggu perjalanan liga tempatan.

“Sudah pasti tarikh itu akan dibuat mengikut kalendar yang ditetapkan FIFA. Biasanya perlawanan dilangsungkan ketika rehat antarabangsa seperti perlawanan lain yang diadakan sebelum ini,” katanya hari ini.

Aksi kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang, Khamis lalu sekali lagi terpaksa ditunda susulan larangan perjalanan ke Korea Utara oleh kerajaan.

Ini kali ketiga AFC terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana masalah ketegangan politik Korea Utara.

Pada awalnya perlawanan yang dijadual pada 28 Mac lalu di Stadium Kim Il-Sung ditunda ke 8 Jun dan tarikh itu sekali lagi ditunda ke 5 Oktober kerana masalah sama.

Selain itu, Windsor turut menjelaskan tarikh baru dan gelanggang bagi aksi kedua-dua pasukan itu dijangka diumumkan selepas semua aksi kelayakan, esok.

“Kami tunggu dulu selepas tamat perlawanan esok sebelum Jawatankuasa Pertandingan AFC membuat keputusan mengenai tarikh baru bagi pertemuan itu.

“Sama ada ia tetap akan dilangsungkan di Pyongyang atau stadium berkecuali juga terpulang kepada keputusan jawatankuasa itu nanti,” katanya.

Harimau Malaya kini berada di Hong Kong bagi perlawanan ketiga Kumpulan B dengan skuad kendalian Nelo Vingada itu hanya meraih satu mata daripada dua aksi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 5:57 PM