Skuad Harimau Malaya akan menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali. FOTO OSMAN ADNAN
Skuad Harimau Malaya akan menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali. FOTO OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim


AKSI kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang tertangguh beberapa kali berikutan situasi semasa di Pyongyang yang tidak selamat menyaksikan pertembungan itu bakal diadakan di gelanggang berkecuali, bulan depan.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam kenyataan hari ini berkata, tarikh bagi dua aksi kumpulan B itu ditetapkan pada 10 November ini dengan Korea Utara terlebih dahulu tampil selaku tuan rumah diikuti Malaysia tiga hari kemudian.

Bagaimanapun, lokasi gelanggang berkecuali itu masih belum dimuktamadkan dengan Setiausaha Agungnya Datuk Windsor Paul John yakin ianya akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu hadapan.

"Perlawanan ini sudah tertangguh sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selain larangan oleh Kerajaan Malaysia ke atas warganya berkunjung ke negara berkenaan.

"Bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa kedua-dua aksi akan dilangsungkan di venue berkecuali dengan aksi pertama menyaksikan Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia pada aksi kedua.

"Kami gembira kerana kedua-dua Persatuan Ahli (Persatuan Bolasepak Malaysia dan Persatuan Bolasepak Korea Utara) bersetuju dengan keputusan ini demi semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Sebelum ini, aksi di Stadium Kim Il-sung di ibu negara Pyongyang itu terpaksa ditangguhkan buat kali ketiga pada 10 Oktober lalu selepas kerajaan Malaysia mengeluarkan sekatan perjalanan ke republik itu.

Untuk rekod, Malaysia membuka kempen kelayakan dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September di Stadium Hang Jebat.

Rentak sumbang terus diperagakan dalam aksi ketiga di Hong Kong apabila tewas 0-2 untuk menduduki tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.

Lubnan kini berada di kedudukan teratas diikuti Korea Utara di tempat kedua manakala Hong Kong mengisi posisi ketiga dengan Malaysia wajib menang baki saingan untuk merebut dua tiket terbaik ke pusingan akhir tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 5:43 PM