GOL pertama perlawanan jaringan Arfield. -Foto Reuters
GOL pertama perlawanan jaringan Arfield. -Foto Reuters
AFP

LIVERPOOL, England: Juergen Klopp mengakui Liverpool perlu meningkat dari segi bertahan selepas lebih banyak masalah di benteng menyebabkan mereka kehilangan dua mata di laman sendiri ketika seri 1-1 dengan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris.

Liverpool mendominasi menentang pasukan kendalian Sean Dyche di Anfield malam tadi namun terpaksa bangkit daripada ketinggalan apabila Mohamed Salah menyelamatkan satu mata buat Klopp selepas kesilapan benteng membantu Scott Arfield membuka tirai jaringan buat pelawat.

Di penghujung minggu yang mana Liverpool turut tewas 0-5 di Manchester City dan diikat di laman sendiri oleh Sevilla dalam aksi pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, Klopp cuba mengendurkan kekecewaan pasukan dan penyokongnya.

“Ya, dari segi keputusan ia mengecewakan tapi secara jujur saya pun tidak sukakannya,” ujar Klopp, yang melakukan tujuh perubahan daripada perlawanan menentang Sevilla.

“Jika saya boleh mengatasi beberapa situasi tidak bertuah maka tugas saya adalah memantau persembahan. Kenapa saya berasa terlalu kecewa adalah kerana kami lihat apa yang pasukan ini boleh lakukan.

“Tujuh perubahan dan bermain corak bola sepak sebegini, tiada siapa boleh memandang rendah.

“Ia membuktikan kami ada kualiti. Kini kami perlu menggunakan kualiti ini secara konsisten. Kami patut menang semua perlawanan kami setakat ini apabila anda memikirkan mengenai persembahan.”

Kelemahan di benteng Liverpool menjadi isu paling hangat buat Klopp yang menyedari hakikat itu memandangkan dominasi dinikmati pasukannya ke atas Burnley dari segi pegangan bola dan percubaan.

SALAH (tiga dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
SALAH (tiga dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters

“Ia berasa pelik, berasa silap tapi itulah hakikatnya yang kami hadapi,” kata Klopp.

Arfield membuka tirai jaringan pada minit ke-27 sebelum Salah, yang dibeli dari AS Roma hujung musim lalu, menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi rembatan leret kaki kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 9:26 AM