AFP

New York: Kepulangan Maria Sharapova (gambar) ke aksi Grand Slam selepas penggantungan doping 15 bulan berakhir semalam dengan kekalahan pada pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat namun bekas pemain nombor satu dunia itu menganggap ia satu langkah penting selepas membuat kemunculan semula.

Pilihan ke-16 dari Latvia, Anastasija Sevastova bangkit untuk menewaskan juara Grand Slam lima kali itu 5-7, 6-4, 6-2 di Stadium Arthur Ashe, menempah tiket ke suku akhir berdepan pemain AS, Sloane Stephens, yang menewaskan pemain Jerman Julia Goerges 6-3, 3-6, 6-1.

Maria, juara Terbuka AS 2006, melihat sesuatu yang positif selepas melakukan 51 kesilapan berbanding 14 yang dilakukan Anastasija, dengan 21 ‘winner’ dicatatnya adalah separuh daripada jumlah yang dilakukan pemain Russia berusia 30 tahun itu.

“Merenung kembali sepanjang minggu, saya masih boleh bergembira,” kata Maria.

“Ia satu perjalanan yang hebat. Sudah pasti banyak yang boleh saya pelajari minggu ini.”

Satu lagi aksi suku akhir mempertemukan pilihan ke-13 dari Republik Czech Petra Kvitova, juara Wimbledon dua kali berdepan pilihan kesembilan dari AS Venus Williams, yang memburu gelaran Grand Slam kelapan dan ketiga di Terbuka AS.

Petra mengejutkan pilihan ketiga dari Sepanyol dan pemilik dua gelaran Grand Slam Garbine Muguruza 7-6 (7/3), 6-3 manakala Venus menewaskan pemain ranking 35 dunia dari Sepanyol Carla Suarez Navarro 6-3, 3-6, 6-1.

Menerusi penampilan Grand Slam pertama buat Maria sejak diuji positif mengambil bahan terlarang meldonium di Terbuka Australia 2016 dia berjaya menewaskan pemain ranking kedua dunia Simona Halep pada pusingan pertama, sekali gus memberi isyarat kepada pencabarnya bahawa dia masih mampu melawan.

“Dia bermain dengan luar biasa sepanjang set pertama dan kedua dan saya terus berjuang, mengejar setiap bola,” kata Anastasija.

“Saya yakin. Saya dapat merasakannya. Namun anda masih perlu menewaskannya. Dia menampilkan salah satu permainan terbaiknya di sini,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 7:39 AM