AFP

Dubai: Venus Williams yang boleh kembali ke kelompok 10 pemain terbaik dunia buat kali pertama dalam tempoh empat tahun jika berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Dubai minggu ini, memulakan kempennya dengan kemenangan 6-1, 6-2 ke atas pemain remaja Switzerland, Belinda Bencic, awal pagi semalam.

Juara tujuh gelaran Grand Slam berusia 34 tahun itu menenggelamkan cabaran Belinda, pemain berusia 17 tahun yang dianggap bintang meningkat, dengan hanya kalah tiga permainan dalam masa satu jam sembilan minit, menjadikannya pemain pertama layak ke pusingan ketiga.

Belinda, juara remaja Wimbledon dan Terbuka Perancis serta pendatang baru terbaik Jelajah WTA tahun lalu selepas melonjak 179 anak tangga ke ranking ke-33, membuat pukulan bola kencang dan kadang kala menakjubkan.

Namun tahap kecergasan Venus dan tajap permainannya terlalu jauh berbanding lawannya itu.

Ia kemenangan ke-16 berturut-turut buat Venus di Emiriah Arab Bersatu, catatan yang menyaksikannya menang tiga kejuaraan di situ sejak 2005. Tidak hairan kejuaraan keempat satu kemungkinan sekalipun sekadar menjadi pilihan kelapan.

“Saya gembira kerana mampu memenangi beberapa perlawanan,” kata Venus, yang menang 10 daripada 11 perlawanan tahun ini. “Sebaik menang ia membantu mengekalkan momentum.

“Strategi saya lebih bagus berbanding lima atau enam tahun lalu dan kini saya mempunyai pukulan kilas dan mula menggunakannya, sekalipun saya tidak beraksi dengan baik.”

Sementara itu, pilihan kelima Agnieszka Radwanska dari Poland meneruskan langkah ke pusingan ketiga selepas memerlukan tiga set sebelum menyingkirkan Caroline Garcia dari Perancis 6-3, 2-6, 6-3 semalam.

Turut meneruskan kemaraan pilihan ke-13, Carla Suarez Navarro dari Sepanyol dan pilihan ke-15, Alize Cornet dari Perancis namun bekas pemain nombor satu dunia, Jelena Jankovic dari Serbia, pilihan ke-12, terkandas pada pusingan kedua.

Jelena tidak memiliki jawapan kepada permainan mantap pemain Sepanyol, Garbine Muguruza Blanco yang menewaskannya 6-3, 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:04 AM