Messi (tengah) cuba lepas kawalan ketat pemain Alaves. -Foto AFP
Messi (tengah) cuba lepas kawalan ketat pemain Alaves. -Foto AFP
AFP

MADRID: Lionel Messi meledak dua gol dan menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan ketika Barcelona mengekalkan permulaan sempurna bagi musim baru La Liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Alaves di laman lawan, awal pagi tadi.

Tanpa pemain baru Ousmane Dembele, yang melengkapkan perpindahan kedua termahal dunia dengan harga 105 juta euro (RM535 juta) dari Borussia Dortmund kelmarin, atau Luis Suarez yang mengalami kecederaan, Messi memastikan Barca tidak ketinggalan dalam perebutan kejuaraan di sebalik permulaan huru-hara di luar padang menjelang kempen kali ini.

Pemain Terbaik Dunia lima kali itu gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali ke-20 sepanjang kariernya apabila Fernando Pacheco menghasilkan tindakan penyelamat menakjubkan pada pertengahan babak pertama.

Bagaimanapun, kehebatan Messi tidak dapat dinafikan apabila percubaannya yang terbias membuka tirai jaringan sebaik selepas rehat sebelum merembat masuk sepakan voli bagi memastikan tiga mata.

“Kami gembira kerana berjaya mengatasi satu ujian getir,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Kami berjaya melepasi saat sukar, kami mengumpul enam mata dan kini boleh memikirkan perlawanan berikutnya.”

Persiapan pramusim Barca dikejutkan dengan kehilangan Neymar ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion).

Dembele dibawa masuk untuk menggantikan pemain Brazil itu namun urusan pembelian Barca mungkin belum berakhir dengan usaha terakhir untuk membeli pemain Liverpool, Philippe Coutinho dijangka sebelum jendela perpindahan Sepanyol ditutup Jumaat depan.

“Kami harap menjelang 31 Ogos kami mempunyai pasukan yang lebih kompetitif,” jelas Valverde.

Alaves mengejutkan Barca setahun lalu apabila menang di Nou Camp dan tuan rumah pasti kecewa apabila Ruben Soriano terlepas peluang terbaik ketika terikat 0-0 sebelum ditewaskan menerusi magis Messi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 8:00 AM