KIAN MENG (kiri) dan Pei Jing menang dua perlawanan di Gold Coast.
KIAN MENG (kiri) dan Pei Jing menang dua perlawanan di Gold Coast.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tidak menggemari kejohanan berpasukan bukan penghalang buat Tan Kian Meng memperoleh satu pengalaman berharga dan mempelajari sesuatu pada Piala Sudirman di Gold Coast, Australia yang berakhir kelmarin.

Menurut pemain kelahiran Johor itu, gagal membantu Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan berpasukan campuran itu tidak bermakna dia pulang ke tanah air dengan tangan kosong namun banyak yang diraihnya dan menganggap ia satu pengalaman yang sangat bermakna.

“Bagi diri saya sendiri, beraksi di Piala Sudirman mampu menambah pengalaman saya bermain di kejohanan berpasukan buat kali pertama. Paling penting saya rasa puas kerana semua corak dan rentak permainan saya menjadi ketika membantu negara di peringkat kumpulan,” katanya.

Kian Meng berjaya mengekalkan rekod bersih ketika bergandingan dengan Lai Pei Jing apabila menang dua perlawanan ketika Malaysia menentang Jerman dan Jepun dalam saingan Kumpulan 1C.

Bagaimanapun, ketika aksi ulangan bertemu Jepun pada suku akhir, dia tidak sempat turun beraksi walaupun disenaraikan apabila pasukan negara tumpas 1-3 dan tidak perlu untuk bermain perlawanan terakhir membabitkan acara beregu campuran.

“Sebelum datang ke Gold Coast, saya memang tidak menjangkakan dapat mengekalkan rekod bersih (dua perlawanan tanpa kalah) tapi berjaya melakukannya bersama Pei Jing. Jadi saya gembira dengan prestasi saya di sana,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Selepas ini, Kian Meng-Pei Jing akan meneruskan aksi dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan menyertai Terbuka Indonesia dan Australia.

Dua kejohanan itu sebahagian daripada persiapan mereka menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos depan, selepas gandingan utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak dapat beraksi berikutan masalah kecederaan.

“Sasaran kami di Terbuka Indonesia dan Australia adalah mara ke suku akhir,” kata Kian Meng yang menduduki ranking ke-11 dunia bersama Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:22 AM