AFP

London: Dua kemenangan hasil dua aksi terakhir akan membolehkan Liverpool layak ke Liga Juara-Juara musim depan tetapi anak buah Jurgen Klopp tidak akan memandang remeh cabaran West Ham apabila kedua-dua pasukan bertemu malam ini.

Liverpool tercicir dua mata apabila sekadar seri 0-0 dengan Southampton minggu lalu tetapi mereka tetap berpeluang apabila Manchester United tersungkur 0-2 di tangan Arsenal.

Reds pernah bergelut ketika menentang West Ham musim ini dan mereka bangkit pada babak kedua untuk mengikat kedudukan seri 2-2 di Anfield, Disember lalu.

Bagaimanapun, mereka kini beraksi lebih baik berbanding pertemuan di Anfield dan menang semua tiga perlawanan di tempat lawan.

Klopp berharap pemain tengah Lucas Leiva dan penyerang Roberto Firmino sempat pulih daripada kecederaan untuk bermain malam ini.

Kedua-dua pemain itu tidak menjalani latihan pertengahan minggu ini kerana masalah otot tetapi Lucas sempat menyertai rakan-rakannya kelmarin sambil Firmino semalam.

Seakan satu bonus buat Klopp, Daniel Sturridge dilihat semakin cergas dan masalah kecederaan yang menghantuinya sejak tiga tahun lalu sudah hilang.

Penyerang itu tidak pernah beraksi selama 90 minit musim ini tetapi mempamer aksi membanggakan ketika menentang Southampton dan jika Firmino tidak bermain, dia boleh diturunkan sebagai ganti.

“Daniel sudah sedia. Itu berita bagus. Sebelum ini, saya sukar menentukan keadaannya. Setiap kali dia dimasukkan, saya pasti tertanya-tanya adakah dia perlu dikeluarkan semula,” kata Klopp.

“Daniel adalah pemain gantian yang baik dan paling penting, dia kembali cergas. Kami tidak membawa nama mereka sebaliknya kehebatan mereka. Penting untuk saya menurunkan pemain yang benar-benar cergas.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 1:44 AM