MOU yang ditandatangani dalam majlis secara virtual.
MOU yang ditandatangani dalam majlis secara virtual.
Suliati Asri


KOLEJ Antarabangsa Inovatif (IIC) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) bagi menambah baik program Diploma Pengurusan Haji dan Umrah kolej berkenaan.

MoU yang ditandatangani dalam majlis secara virtual itu diwakili Pengasas IIC Shahawati Umar dan Ida Riswana Idris mewakili Andalusia.

Shahawati berkata, menerusi kerjasama itu pelajar akan didedahkan dengan pengurusan haji dan umrah yang sebenar melalui kepakaran serta pengalaman pihak Andalusia.

"Perjanjian ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak termasuk pelajar akan dilatih sendiri oleh pakar dalam pengurusan haji dan umrah iaitu Andalusia.

"Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman mengendalikan urusan jemaah di kawasan sebenar, Mekah dan Madinah," katanya.

Menerusi MoU itu juga, kata Shahawati, pelajar berpeluang mendapat pengalaman latihan industri bersama syarikat pengurusan haji dan umrah itu.

Sementara itu, program diploma berkenaan turut menjadikan YEG Academy (M) Sdn Bhd sebagai rakan strategik industri bagi menguruskan kelancaran tadbir urus pengajian.

YEG Academy adalah platform pendidikan dan kerjaya yang sentiasa menyokong jalinan kerjasama antara institusi pendidikan serta pemain industri seperti dilakukan IIC dan Andalusia.

Sebagai contoh, kerjasama dalam program diploma ini adalah sangat penting dalam melahirkan graduan yang mahir dan profesional dalam pengurusan jemaah haji dan umrah.

YEG Academy juga yakin jalinan industri seperti ini dapat mengatasi kegusaran majikan terhadap kemahiran dan sikap graduan yang tidak menepati kriteria sesebuah jawatan yang diberikan di tempat kerja.

Ia sekali gus melahirkan graduan yang profesional serta memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:41 AM