IJAZAH sebenarnya adalah tiket untuk seseorang itu lebih berkeyakinan selepas menamatkan pengajian - Gambar hiasan
IJAZAH sebenarnya adalah tiket untuk seseorang itu lebih berkeyakinan selepas menamatkan pengajian - Gambar hiasan
Suliati Asri


RAMAI beranggapan universiti atau institusi pengajian tinggi adalah tempat menghasilkan pekerja yang berkemahiran dalam memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Hal itu mungkin benar tetapi ia sudah berlalu. Bukan disebabkan kekurangan calon, namun lebih menjurus kepada perubahan mendadak senario industri dan juga peluang pekerjaan di abad ke-21 ini.

Selain impak Revolusi Industri 4.0, penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia masih belum nampak kesudahannya.

Laporan World Economic Forum 2020 yang mengambil kira kesan kedua-dua elemen ini menggariskan beberapa penemuan yang agak menggerunkan.

Antaranya, menurut laporan itu, menjelang tahun 2025, lebih banyak pekerjaan akan digantikan oleh mesin dan algoritma kecerdikan buatan.

Jurang kemahiran dalam kalangan tenaga kerja juga dikatakan akan melebar jika tiada usaha dilaksanakan bagi menambah baik kemahiran sedia ada bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Justeru, di abad ke-21 ini, peranan universiti dan graduan berubah serta perlu berani mencipta peluang.

Di Malaysia, Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) sebenarnya sudah pun mampu menangani cabaran-cabaran ini.

Lonjakan pertama yang menekankan kepada pemupukan sifat keusahawanan yang mampu menghasilkan graduan mempunyai kerjaya dan mencipta peluang pekerjaan.

Ijazah ini bukan lagi penentu hala tuju kerjaya seseorang graduan, jika di dalam diri setiap mereka ini sudah tersisip perasaan berani meneroka hasil daripada sifat keusahawanan yang tertanam.

Bagi pemegang Ijazah Jurusan Ukur Bahan dari Universiti Malaya, Mohamad Anif Azami, 28, misalnya cubaan beraninya untuk menceburi bidang keusahawanan sejak 2018 nyata membuahkan hasil.

MOHAMAD Anif dan isteri berani bertindak di luar kebiasaan menceburi bidang perniagaan.
MOHAMAD Anif dan isteri berani bertindak di luar kebiasaan menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya, ijazah sebenarnya adalah tiket untuk seseorang itu lebih berkeyakinan selepas menamatkan pengajian.

"Sebenarnya, dalam apa juga bidang, pengijazahan adalah aras pendidikan yang standard perlu dimiliki semua generasi hari ini.

"Sebagai graduan yang mempunyai ijazah, saya juga berkecimpung dalam sektor pembinaan mengikut kepada kelulusan yang ada. Tapi pada pandangan saya bidang profesional ini terlalu padat sehinggakan graduan tak dapat bersinar di sesebuah syarikat. Kalau ada pun, mungkin ambil masa yang agak lama," katanya.

Mohamad Anif berkata, dia menceburi bidang perniagaan bersama isterinya, Nor Shahira Kamaruzaman, 28, bukan disebabkan tiada peluang pekerjaan dalam jurusan yang diambil tetapi gaji yang ditawarkan tidak berbaloi selain tekanan kos sara hidup juga memaksanya bertindak di luar kebiasaan menceburi bidang perniagaan.

"Saya dan isteri terfikir untuk mengeluarkan produk kudap-kudap menerusi jenama Aducktive kerana ia adalah kategori produk FMCG (Fast Moving Consumer Goods) ataupun produk makanan mesti orang mahu beli setiap hari.

"Justeru, ia tidak menyukarkan kami untuk mendapatkan pusingan modal kerana urus niaga dijalankan setiap hari. Kami dapat tunai setiap hari dan kami keluarkan produk juga setiap hari," katanya.

MUHAMMAD Khalil nekad menceburi bidang perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk membantu rakan dan masyarakat.
MUHAMMAD Khalil nekad menceburi bidang perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi untuk membantu rakan dan masyarakat.

"Mungkin pilihan ini yang terbaik untuk beliau yang tidak

mempunyai modal besar untuk memulakan perniagaan," tambahnya.

Dalam era yang mencabar ini, kata Mohamad Anif kemahiran adalah sangat penting sebagai persiapan diri menempuh masa depan yang tidak diketahui.

"Justeru, buat graduan di luar sana, universiti adalah gedung ilmu. Bukan saja ilmu dalam bidang yang dipelajari tetapi di universiti ada pelbagai ilmu yang boleh diaplikasi dalam kehidupan sebenar kelak.

"Jadi, rebutlah peluang untuk menjadi mahasiswa lain dari yang lain kerana rugi kalau kita hanya cemerlang dalam bilik kuliah sahaja," katanya yang bersyukur kerana dia dan isteri aktif berpersatuan di universiti sekali gus menjadikan mereka sentiasa bermotivasi dalam meneruskan kehidupan.

Ditanya mengenai penggunaan ilmu ukur bahan yang dipelajari ketika di universiti, katanya bidang pengajiannya banyak ilmu kira-kira .

"Jadi, sedikit sebanyak ilmu yang ada itu diguna pakai dalam perniagaannya. Malah, katanya dia juga lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan syarikat dengan ilmu asas yang dimiliki," tambahnya yang mahu memperluaskan lagi produknya ke peringkat antarabangsa selain nekad untuk membina generasi usahawan.

Sementara itu, bagi pemegang Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak, Muhammad Khalil Kader Mydin berkata, sekarang adalah zaman mencipta peluang pekerjaan.

Menurutnya, semua tahu bahawa 9/10 rezeki itu adalah daripada perniagaan. Jadi, adalah sangat rugi jika peluang yang ada tidak dimanfaatkan sebaiknya.

"Apa yang dipelajari sekarang adalah ilmu yang boleh dijadikan perniagaan. Cuma kita perlu tahu cara untuk mengolah seterusnya menjadikannya bentuk perniagaan.

"Kerana itu, kemahiran keusahawanan adalah sangat penting dan siapa tahu satu hari nanti, anda adalah salah seorang rakyat Malaysia yang memberikan peluang pekerjaan kepada orang ramai," katanya.

MAHASISWA perlu bijak memanfaat peluang yang ada sejak
MAHASISWA perlu bijak memanfaat peluang yang ada sejak

Memiliki Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak tetapi menjadi pengusaha produk Maruku Viral adalah sesuatu yang sangat jauh berbeza.

Namun, dengan keinginan yang tinggi selain dorongan daripada keluarga, ia bukan sesuatu yang mustahil.

Muhammad Khalil berkata, hidup zaman ini tidak cukup untuk seseorang itu hanya kerja makan gaji saja selain menjadi guru taska atau prasekolah adalah sukar kerana ia dimonopoli guru perempuan.

"Bapa saya sentiasa bercakap untuk mendidik anak-anaknya untuk berniaga. Namun pada awalnya, minat untuk berniaga itu sangat kurang dan fokus saya adalah lebih ke arah kerja makan gaji.

"Bagaimanapun, dengan keadaan sekarang, kerja makan gaji saja tidak mencukupi dan kerana itu saya berhasrat untuk membina perniagaan yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan saya, malah dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakan dan orang lain yang memerlukan di sekeliling saya," katanya.

Gemar melakukan pelbagai aktiviti universiti dan bekerja sambilan juga adalah titik permulaannya berminat dalam perniagaan.

Ditanya mengenai cabaran dalam perniagaan yang dimulai awal tahun ini, Muhammad Khalil berkata, cabarannya adalah tidak mahir mengenai selok belok perniagaan, lemah dari aspek pemasaran, sukar mendapat pelanggan dan mendapat kepercayaan pelanggan terhadap produk yang baharu dihasilkan.

Namun, semua itu dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi untuk terus maju ke hadapan selain mahu membantu lebih ramai orang meraih pendapatan.

Menyedari ramai mahasiswa yang masih duduk selesa dan takut untuk meneroka bidang

baharu, nasihat Muhamad Khalil, carilah peluang ketika masih bergelar pelajar kerana anda mempunyai masa yang sangat lapang.

"Seminggu ada 168 jam. Tetapi mahasiswa hanya sibuk dengan kelas lebih kurang 20 jam seminggu sahaja.

"Jadi, masa yang berbaki itu boleh dimanfaatkan untuk mencari peluang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:00 AM