SYED Kamarudin menunjukkan arnab pelbagai varian.
SYED Kamarudin menunjukkan arnab pelbagai varian.
Hassan Omar


Pasangan suami isteri Syed Kamarudin al-Edrus, 55, dan Asisahwati Mohd Shah, 53, ini membulatkan tekad meninggalkan kerjaya selesa empat tahun lalu.

Ia semata-mata untuk menceburi industri penternakan arnab pedaging dan peliharaan yang berjaya menembusi pasaran beberapa negeri sejak awal tahun lalu.

Syed Kamarudin dan isteri masing-masing menamatkan tugas sebagai pengurus bahagian keselamatan di sebuah syarikat pembinaan dan juruaudit di Selangor.

Menurut Syed Kamarudin, biarpun sebelum ini dia dan isteri mampu menikmati pendapatan tinggi hasil daripada kerjaya masing-masing,namun kini memperoleh pendapatan yang lebih baik hasil daripada titik peluh memajukan industri itu pula.

"Kami mula menceburi industri itu pada 2018 selepas mendapati ia mempunyai prospek yang amat cerah. Hasil daripada beberapa siri kursus disertai, kami membulatkan azam memajukan projek penternakan arnab pedaging dan peliharaan.

"Alhamdulillah, sekarang selain pasaran di Melaka, kami turut memasarkan arnab dan produk hiliran berasaskan daging haiwan itu di Selangor serta Perak," katanya ketika ditemui di pusat penternakan arnab di di Kilometer 33, Jalan Bukit Senggeh Kampung Selandar, Jasin, Melaka baru-baru ini.

Bagi arnab pedaging, pasangan terbabit memelihara arnab varian 'New Zealand White' dan kacukan haiwan itu dengan varian 'Chinchilla,'

Sementara bagi arnab peliharaan pula, mereka memiliki varian 'Netherland Dwarf,' 'Mini Rex,' Lion Head,' dan 'Holland Lop.'

Dengan jumlah 210 arnab pelbagai varian sedia ada, mereka menghasilkan pes berasaskan arnab seperti rendang, serunding, perap berempah dan masak lemak cili padi.

Kata Syed Kamarudin, arnab hanya memerlukan tempoh 30 hari untuk bunting dan selepas anak arnab mencapai usia 45 hari, ia dipisahkan daripada ibu selepas tamat tempoh menyusu.

Selain peniaga arnab peliharaan yang hadir sendiri di pusat penternakan itu, Syed Kamarudin dan Asisahwati turut menerima permintaan daripada individu yang ingin mencuba daging arnab yang lebih lazat berbanding ayam dan daging lembu.

Mengenai ancaman penyakit, pasangan itu bersyukur kerana haiwan berkenaan tidak mudah diserang penyakit dan setiap kali ada arnab yang dikesan mengalami masalah kesihatan, ia segera diasingkan.

"Pengasingan dilakukan dalam tempoh yang agak lama dan selepas diberikan rawatan, jika ia tidak memperlihatkan tanda akan sembuh, kami segera menyembelihnya untuk santapan keluarga," katanya.

Berbekalkan ilmu yang ditimba daripada pelbagai kursus penjagaan arnab sebelum ini, Syed Kamarudin setakat ini berjaya mengelakkan haiwan peliharaannya mati dalam jumlah yang tinggi pada satu-satu masa.

Dengan bantuan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Alor Gajah, usahawan tani terbabit mampu memastikan arnab pelbagai usia dan jenis terhindar daripada penyakit berbahaya.

Berdasarkan pasaran sedia ada, Syed Kamarudin dan isteri merancang meningkatkan jumlah arnab pedaging dan peliharaan dengan kaedah menambah reban yang mampu menampung kira-kira 1,000 ekor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:44 AM