DURIAN musang king bakal memasuki pasaran China tahun depan.
DURIAN musang king bakal memasuki pasaran China tahun depan.
Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memeterai protokol keperluan pemeriksaan serta kuarantin pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji ke negara China selepas beberapa siri rundingan dilakukan sebelum ini.

Kejayaan itu rentetan lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik berkenaan, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Mahathir bersama rakan sejawatnya, Li Keqiang turut menyaksikan perjanjian itu yang berlangsung di The Great Hall of The People, Beijing.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub yang turut mengikuti lawatan berkenaan berkata, pencapaian ini adalah kejayaan dua tahun berturut-turut selepas Malaysia berjaya mendapatkan laluan pasaran untuk nanas secara rasmi pada Mei 2017.

Beliau berkata, kebenaran mengeksport buah-buahan ini mencerminkan keyakinan China terhadap mutu hasil pertanian Malaysia, sama ada dari segi kebersihannya, keselamatannya mahupun keenakannya.

SALAHUDDIN dan Ni menandatangani perjanjian sambil disaksikan Dr Mahathir dan Li.
SALAHUDDIN dan Ni menandatangani perjanjian sambil disaksikan Dr Mahathir dan Li.

“Sebelum ini, Malaysia memperoleh kelulusan laluan pasaran ke China bagi durian sejuk beku dalam bentuk isi durian dan pes sejak November 2007.

“Bagi pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji (keseluruhan buah) yang baru diperoleh ini, MOA menjangkakan ia akan bermula pada awal tahun depan.

“Dalam memenuhi keperluan protokol yang dipersetujui, Malaysia perlu mengemukakan senarai ladang memenuhi keperluan Sijil Amalan Pertanian Baik (MyGAP) berserta senarai fasiliti pemprosesan durian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani majlis memeterai berkenaan bersama Menteri Pentadbiran Am Kastam China Ni Yuefeng.

Salahuddin berkata, ia termasuk lain-lain keperluan sebagaimana yang termaktub dalam protokol untuk persetujuan pihak China sebelum pengeksportan boleh dimulakan.

“Kementerian ingin menasihatkan semua pengusaha ladang dan fasiliti pemprosesan durian untuk sentiasa mengekalkan pematuhan kepada standard antarabangsa. Ia bagi mengekalkan kelulusan laluan pasaran ini supaya produk Malaysia dapat terus berdaya saing di peringkat global.

“MOA juga ingin menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak perlu khuatir akan berlaku kekurangan bekalan dalam negara atau harga durian bakal melambung kerana ladang dan pusat pemprosesan yang memenuhi kriteria saja mendapat kebenaran mengeksport ke China,” katanya.

PENDUDUK China membanjiri tapak Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China, tahun lalu.
PENDUDUK China membanjiri tapak Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China, tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama, kementerian juga sentiasa memastikan kualiti bekalan durian di pasaran tempatan juga adalah baik memandangkan lebih banyak pengusaha durian yang mengamalkan sistem MyGAP.

“Kita menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya mengeluarkan durian secara besar-besaran dan sistematik sebagaimana pengeluaran getah dan sawit.

“Kementerian menyeru pengusaha ladang durian yang berkelayakan untuk merebut peluang pasaran ini dengan meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran durian bagi menampung permintaan dari negara China,” katanya.

Katanya, hingga kini, sebanyak 204 varieti durian didaftarkan dengan Jabatan Pertanian (DOA).

“Daripada jumlah itu, 12 varieti disarankan DOA untuk ditanam kerana mempunyai nilai komersial dan mendapat permintaan yang tinggi.

“Enam varieti utama yang mendapat sambutan adalah D24, D160 (musang queen), D168 (Hajah Hasmah), D197 (musang king), D200 (Ochee) dan D99,” katanya.

Beliau berkata, dari enam varieti utama itu, dua iaitu D197 dan D24 dianggap sebagai varieti premium.

“Bagi penggunaan kaedah e-dagang sebagai alat pemasaran secara efektif sebagaimana dipersetujui secara bersama kedua-dua Perdana Menteri iaitu promosi atas talian durian juga dimulakan dengan perasmian ‘Online Promotion for Malaysian Durian with Chunbo.co.’

“Kementerian turut menggalakkan penyertaan penyedia perkhidmatan atas talian yang lain untuk mengembangkan peluang pemasaran durian Malaysia,” katanya.

WARGA China menunjukkan durian musang king.
WARGA China menunjukkan durian musang king.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:15 PM